PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan senarai barangan yang dirampas milik Albert Tei Jiann Cheing pada hari beliau ditahan, dan dokumen itu turut ditandatangani sendiri oleh ahli perniagaan berkenaan.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa barangan terbabit telah diserahkan oleh Tei kepada pegawai agensi antirasuah itu, dan satu salinan dokumen Senarai Penyitaan Harta Alih di bawah Seksyen 33 Akta SPRM 2009 diberikan kepada ahli perniagaan tersebut pada 28 Nov lepas.
Antara barangan yang disita ialah telefon bimbit, iPad dan perakam video digital yang merupakan bahan bukti.
“SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tanpa asas bahawa pegawai SPRM telah merampas barang-barang Tei tanpa mengikut prosedur.
"SPRM sentiasa melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dalam bidang kuasa,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu merujuk kepada laporan portal berita yang mendakwa SPRM merampas barangan Tei secara tidak sah.
Peguam yang mewakili isteri Tei mendakwa SPRM telah merampas barangan suaminya secara tidak sah dan memberi tempoh tiga hari hingga Rabu ini kepada agensi berkenaan untuk mengeluarkan inventori harta yang dirampas.
Tei ditahan di rumahnya di Puchong pada Jumaat lepas bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan pemberian rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bagi mendapatkan semula wang yang diberikan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.
-- BERNAMA