JENAYAH & MAHKAMAH

Sarawak Komited Banteras Pembalakan Haram - Len Talif

01/12/2025 03:28 PM

KUCHING, 1 Dis (Bernama) -- Kerajaan Sarawak sentiasa komited membanteras aktiviti pembalakan haram sehingga ke akar umbi, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh.

Beliau berkata bagi tempoh Mei hingga Oktober tahun ini, Jabatan Hutan Sarawak membuka 81 kertas siasatan bagi kesalahan berkaitan hutan.

“Sebanyak empat kes telah didaftarkan untuk pendakwaan di mahkamah, di mana dua kes telah dibicarakan manakala dua kes masih dalam proses perbicaraan.

"Selebihnya masih berada di pelbagai peringkat siasatan. Dalam tempoh itu, RM554,923 kompaun dan RM718,551 hasil pelupusan melalui jualan kayu rampasan telah dikutip,” katanya ketika sesi penggulungan kementerian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Len Talif berkata Sarawak Forestry Corporation (SFC) turut memperkukuh usaha melindungi Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) serta hidupan liar melalui rondaan dan operasi penguatkuasaan berterusan bagi mencegah pencerobohan serta pemburuan haram.

Dari April hingga November tahun ini, SFC membuka 59 kertas siasatan berkaitan TPA dan jenayah hidupan liar, dengan sembilan kes dibawa ke mahkamah, 15 kes dikenakan kompaun, manakala 33 kes masih dalam siasatan.

“Dalam tempoh itu, sejumlah RM39,000 kompaun telah dikutip, manakala jumlah denda mahkamah terkumpul sebanyak RM216,700,” katanya.

Bagi membanteras penyeludupan rentas sempadan, SFC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan operasi bersama pihak berkuasa Indonesia dari 4 hingga 8 November, yang membawa kepada rampasan 313 hidupan liar, termasuk spesies kayu ara (Ficus species), rhu laut (Casuarina species) dan pokok tanduk rusa (Platycerium species).

Tambahnya, di peringkat nasional, bagi tempoh sama, Sarawak turut menyertai Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama PDRM dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dengan 24 operasi dilaksanakan dan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM2.23 juta.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497476