AM

Banglo Putih Hampir Roboh Dipukul Ombak Besar Dan Hakisan Pantai Batu Rakit

01/12/2025 05:12 PM

KUALA NERUS, 1 Dis (Bernama) -- Sebuah banglo bernilai RM800,000 di Pantai Kampung Pengkalan Atap dekat di sini hanya menunggu masa untuk roboh susulan masalah hakisan teruk di Pantai Batu Rakit.

Pemiliknya Nor Azman Abdul Manan, 66, berkata banglo dua tingkat yang dijadikan inap desa itu dibina pada 2017, dan pada awal pembinaan jarak antara inap desa dan pantai agak jauh iaitu kira-kira satu kilometer.

Beliau bagaimanapun berkata fenomena ombak besar dan hakisan teruk menyebabkan bahagian depan rumah termasuk balkoni ranap dan dihanyutkan air laut.

“Fenomena ombak besar yang agak luar biasa sejak dua tiga tahun kebelakangan ini menyebabkan hakisan berlaku lebih cepat. Awal tahun ini jarak pantai dengan banglo itu lebih 100 meter.

“Oleh itu saya terpaksa memindahkan barangan dan mengosongkan rumah kerana keadaan semakin teruk. Memang sedih melihat hasil titik peluh lenyap begitu sahaja tetapi saya tak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat banglo ini runtuh suatu hari nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Tanjung, Batu Rakit Mohd Kamal Dullah, 43, berkata rumah arwah datuknya juga telah ranap ditelan ombak besar dan hakisan teruk di kawasan berkenaan.

Beliau berkata 10 tahun dahulu jarak antara rumah dengan pantai ialah sekitar 10 kilometer dan bahagian belakang boleh dilalui dengan kenderaan kerana terdapat kemudahan jalan berturap.

“Saya harap kerajaan dapat membina benteng pemecah ombak kerana itu satu-satunya penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan Pantai Batu Rakit.

“Jika masalah ini tidak diatasi segera, tidak mustahil Pantai Batu Rakit akan hanya tinggal nama dan paling kasihan ialah penduduk yang terpaksa menyewa rumah lain kerana kediaman masing-masing tidak dapat diselamatkan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497561