KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Bintang skuasy negara S. Sivasangari melangkah ke pusingan kedua pada Kejohanan Terbuka Hong Kong 2025 selepas menewaskan pemain England Lucy Turmel di Pusat Skuasy Hong Kong hari ini.
Pada aksi pusingan pertama itu, Sivasangari mencatat kemenangan mudah 3-0 selepas merekodkan keputusan 11-8, 11-8, 11-9.
Pada pusingan kedua esok, pemain nombor tujuh dunia itu dijadualkan berdepan pemain Perancis Melissa Alves yang menewaskan pemain harapan tuan rumah Tsz-Wing Tong 3-0 (11-5, 11-5, 11-3).
Sivasangari berada dalam prestasi mengagumkan musim ini selepas mara ke separuh akhir Klasik London pada September, suku akhir Terbuka Mesir (September) dan Klasik Qatar (Oktober) sebelum menamatkan saingan sebagai naib juara Terbuka Silicon Valley pada Oktober.
Minggu lepas, beliau turut muncul naib juara Terbuka Skuasy Kelab Bola Sepak Hong Kong (HKFC) selepas tewas kepada pemain Mesir Fayrouz Aboelkheir 1-3 (6-11, 9-11, 11-7, 4-11).
Sementara itu, seorang lagi pemain negara Aifa Azman turut mara selepas menewaskan Zeina Mickawy dari Mesir 11-5, 12-10, 11-6 dalam masa 25 minit dan beliau akan berdepan Amina Orfi dari Mesir pada pusingan kedua.
Sementara itu, Tinne Gilis dari Belgium menewaskan pemain negara Rachel Arnold 11-8, 11-5, 11-3.
-- BERNAMA