KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Banjir di Negeri Sembilan pulih sepenuhnya hari ini, manakala situasi di tujuh negeri yang masih terjejas iaitu Perak, Selangor, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah terus menunjukkan perkembangan positif setakat 4 petang
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam memaklumkan semua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup sepenuhnya bermula 10 pagi tadi, selepas semua mangsa banjir kembali ke kediaman masing-masing.
Di PERAK, jumlah mangsa terus berkurangan petang ini kepada 3,837 orang daripada 1,156 keluarga yang masih berlindung di 21 PPS di lima daerah terjejas, berbanding 4,766 orang daripada 1,447 keluarga pagi tadi.
Di SELANGOR situasi turut menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa yang masih berlindung di PPS menurun kepada 2,224 orang daripada 613 keluarga setakat petang ini, berbanding 2,707 orang daripada 752 keluarga pagi tadi.
Menurut Laman web infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebuah PPS di negeri itu telah ditutup, menjadikan 29 PPS yang masih beroperasi di empat daerah iaitu Kuala Selangor, Sepang, Kuala Langat dan Sabak Bernam.
Jumlah mangsa banjir di PERLIS juga terus menurun kepada 1,387 orang petang ini berbanding 2,523 mangsa pagi tadi.
Berdasarkan data Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, dua PPS ditutup hari ini, manakala 10 lagi masih beroperasi di kawasan Padang Besar, Kangar dan Arau.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu turun secara mendadak kepada 511 orang daripada 178 keluarga, berbanding 1,752 orang daripada 552 keluarga pagi tadi.
Berdasarkan laman web InfoBencana Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), semua PPS di daerah Dungun, Kemaman, Marang dan Hulu Terengganu ditutup setelah semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Sementara itu, di KELANTAN, seramai 353 mangsa daripada 129 keluarga masih berlindung di PPS Pasir Mas petang ini berbanding 894 mangsa pagi tadi.
Setakat ini, dua kematian direkodkan akibat banjir di Kelantan, termasuk seorang bukan warganegara.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir menurun kepada 289 orang daripada 79 keluarga petang ini, berbanding 610 orang daripada 206 keluarga pagi tadi.
Bagaimanapun, Infopublic banjir memaklumkan bacaan paras air Sungai Pahang melebihi tahap bahaya di beberapa lokasi iaitu di Jambatan Keretapi, Bera (34.97 m), Waterfront, Bera (28.51 m) dan Lubuk Paku, Pekan (19.23 m).
Di KEDAH, jumlah mangsa banjir sedikit berkurangan kepada 219 orang daripada 64 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 264 orang daripada 83 keluarga pagi tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, semua mangsa dari daerah Kubang Pasu berlindung di dua PPS.
-- BERNAMA