MELAKA, 1 Dis (Bernama) -- Sebanyak 1,939 notis kesalahan kebersihan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka hasil pemeriksaan ke atas 5,787 premis makanan di seluruh negeri ini bagi tempoh 1 Jan hingga 22 Nov lepas.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata notis berjumlah RM260,475 itu dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan sebanyak 77 premis makanan dikenakan tindakan penutupan selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
"Premis yang diarah tutup termasuk dapur hotel, restoran, kedai dan kantin sekolah yang antaranya kerana terdapat najis tikus, lipas dan tahap kebersihan premis yang tidak mematuhi piawaian.
"Berdasarkan statistik, kita dapat lihat aspek kebersihan premis makanan di negeri ini agak tidak memuaskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri Dr Ruzita Mustaffa.
Ngwe berkata pengguna digalakkan 'perhati dan pilih' dengan memilih premis yang bersih, mematuhi peraturan serta yang telah mendapat pengiktirafan BeSS sebagai jaminan tambahan terhadap kebersihan dan keselamatan makanan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 91 premis makanan di negeri ini berjaya mendapat pengiktirafan BeSS melibatkan 15 kantin sekolah dan 76 premis makanan lain dalam tempoh 1 Jan hingga 31 Okt lepas dan tempoh sah laku pengiktirafan BeSS adalah selama tiga tahun.
"Kriteria wajib lain bagi pengiktirafan itu ialah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), berdaftar dalam Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FOSIM), memiliki lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan dan semua pengendali makanan wajib melengkapkan suntikan antitifoid serta menghadiri Kursus Latihan Pengendali Makanan," katanya.
Beliau berkata pengiktirafan BeSS bukan sahaja menunjukkan komitmen premis terhadap keselamatan makanan tetapi meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap kualiti makanan dan minuman yang disediakan.
-- BERNAMA