PASIR PUTEH, 1 Dis (Bernama) -- Fakulti Bio Sumber dan Industri Makanan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini memeterai Surat Niat (LoI) dengan MSR Growth Sdn Bhd bagi kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan, latihan industri, pemindahan teknologi serta khidmat nasihat dalam sektor pertanian dan bioindustri.
Dekan Fakulti Bio Sumber dan Industri Makanan UniSZA Prof Dr Hafizan Juahir berkata pemeteraian dokumen itu bertujuan memperkukuhkan hubungan akademik industri bagi memacu inovasi, pembangunan teknologi dan peluang keusahawanan dalam bidang agroindustri.
Beliau berkata antara ruang lingkup kerjasama termasuk penyelidikan bersama dalam mikrobiologi pertanian, penempatan pelajar untuk latihan industri, pemindahan ilmu melalui bengkel atau seminar, perkhidmatan rundingan dan kepakaran bersama.
“Kerjasama ini adalah satu peluang sangat baik yang akan beri impak kedua-dua pihak serta banyak lagi potensi yang boleh dibangunkan bersama,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani LoI di sini hari ini.
Pada majlis itu, UniSZA diwakili Dr Hafizan manakala MSR Growth Sdn Bhd diwakili Pengarah Muhammad Saifullah Ramli.
Sementara itu, Muhammad Saifullah berkata menerusi pemeteraian LoI, ia akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak.
“Sebagaimana yang kita ketahui, UniSZA mempunyai kepakaran penyelidikan, makmal, fasiliti dan para penyelidik yang sangat berpengetahuan.
“Realiti yang dihadapi petani sekarang ialah kebergantungan kepada input kimia, yang menjadi punca utama kos semakin meningkat, kesuburan tanah semakin merosot dan hasil mula tidak stabil. Justeru, kami menghasilkan produk berteraskan bahan organik dengan formulasi probiotik serta nutrisi tanaman yang lebih selamat bagi menawarkan alternatif yang lebih baik kepada para petani,” katanya.
MSR Growth adalah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan pertanian.
-- BERNAMA