AM

Segala Urusan PRN Sabah Dilaksanakan Dengan Penuh Integriti, Telus - SPR

01/12/2025 08:21 PM

KOTA KINABALU, 1 Dis (Bernama) -- Segala urusan pengundian, pengiraan, penjumlahan dan pengisytiharan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 telah dilaksanakan dengan penuh integriti dan telus, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus dalam kenyataan hari ini berkata proses berkenaan turut dipantau oleh semua parti politik, kumpulan pemerhati dan individu yang mengambil bahagian dan dilantik dalam PRN itu.

Kenyataan itu dibuat susulan beberapa dakwaan tular menerusi media sosial, yang menurut Khairul Shahril memberikan gambaran kurang tepat terhadap perjalanan PRN Sabah ke-17.

“SPR mengambil maklum beberapa dakwaan ditularkan menerusi media sosial yang memberikan gambaran kurang tepat mengenai perjalanan pilihan raya khususnya tuduhan ketidaktelusan SPR dalam melaksanakan proses PRN Sabah ke-17,” katanya.

Khairul Shahril berkata sebarang pertikaian berkaitan proses atau keputusan pilihan raya hendaklah dikemukakan melalui petisyen pilihan raya dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan itu diwartakan kelak.

Dalam kenyataan sama, Khairul Shahril berkata SPR merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi di Sabah yang telah menunaikan tanggungjawab mereka pada 29 Nov lepas sehingga semua keputusan dapat diisytiharkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya. 

Suruhanjaya itu, katanya turut berterima kasih kepada semua agensi kerajaan, pasukan keselamatan, pihak berkuasa tempatan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), petugas media serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan proses pilihan raya itu.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2497697