JAKARTA, 1 Dis (Bernama-ANTARA) -- Tentera Udara Indonesia telah mula menggerakkan pesawat bagi melaksanakan penghantaran bekalan bantuan secara penghantaran udara (airdrop) ke kawasan Sibolga di Sumatera Utara yang masih terputus hubungan akibat kejadian tanah runtuh baru-baru ini, lapor agensi berita ANTARA.
“Operasi airdrop menggunakan pesawat pengangkut Hercules milik Tentera Udara. Sistem penurunan helibox pula menggunakan pesawat CN 295 dan Casa 212,” kata Ketua Pusat Penerangan Markas Besar Tentera Nasional Indonesia (TNI), Mejar Jeneral Freddy Ardianzah, pada Isnin.
Beliau berkata kaedah penghantaran udara digunakan kerana akses darat ke Sibolga masih terputus.
Bekalan yang dihantar merangkumi makanan siap dimakan, ubat-ubatan, khemah kecemasan dan pakaian.
Sambil melaksanakan penghantaran bantuan, anggota TNI turut meneruskan usaha memindahkan mangsa di kawasan banjir Sibolga.
Ardianzah mengesahkan bahawa penghantaran bekalan serta penempatan anggota akan diteruskan di dua lagi kawasan terjejas banjir iaitu Aceh dan Sumatera Barat.
“Penghantaran bekalan masih berjalan. Semua laluan darat, laut dan udara dioptimumkan bagi memastikan bantuan sampai kepada masyarakat dengan cepat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata sebuah kapal besar telah berjaya berlabuh di pesisir Sibolga untuk menghantar bantuan kepada mangsa pemindahan, memandangkan laluan darat ke kawasan itu terputus akibat banjir kilat dan tanah runtuh.
Selepas melawat mangsa pemindahan di Tapanuli Tengah, Sumatera Utara pada Isnin, Presiden Prabowo turut mengesahkan bahawa pesawat pengangkut Hercules Tentera Udara menghantar bekalan setiap hari kepada mangsa pemindahan dari pusat penyimpanan bantuan ke kawasan bencana di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh.
Setiausaha Kabinet Indonesia, Teddy Indra Wijaya berkata Presiden mengarahkan tindakan pantas, tepat dan menyeluruh dalam menangani bencana banjir di Sumatera.
Beliau menambah bahawa kerajaan telah mengenal pasti keutamaan tindak balas kecemasan termasuk mempercepat pengagihan bahan api, memulihkan rangkaian elektrik dan membuka akses ke kampung yang terputus hubungan.
-- BERNAMA-ANTARA