PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensi di bawahnya terus mempergiat usaha membantu usahawan dan koperasi yang terkesan akibat banjir termasuk bantuan seperti moratorium bagi meringankan beban mereka.
KUSKOP dalam kenyataan hari ini memaklumkan Bank Rakyat menawarkan moratorium sehingga enam bulan bagi pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas banjir merangkumi produk pembiayaan seperti Pembiayaan Peribadi-i, Perumahan-i, Kenderaan-i, Sewa Beli-i, Pajak Gadai-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Mikro-i dan Kad Kredit-i.
“Selain itu, Bank Rakyat turut menyalurkan barangan keperluan asas bernilai RM40,000 kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara.
“TEKUN Nasional turut memperkenalkan empat inisiatif bantuan banjir, iaitu moratorium sehingga tiga bulan, penjadualan semula pembiayaan, kemudahan pengeluaran simpanan usahawan serta kemudahan pembiayaan bertindih bagi suntikan modal untuk memulihkan semula operasi perniagaan yang terjejas,” menurut kenyataan itu.
Bagi memastikan bantuan meliputi pelbagai kategori usahawan, SME Corp Malaysia mengaktifkan Dana Khas Kecemasan KUSKOP bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana, usahawan informal dan individu terjejas.
Ia termasuk bantuan pembaikan premis, mesin atau peralatan sehingga RM5,000 serta geran maksimum RM5,000 bagi perniagaan kecil dan mikro yang menanggung kemerosotan jualan.
Bantuan kebajikan juga disediakan kepada isi rumah terjejas termasuk golongan B40 dan OKU dengan kadar sehingga RM500 bagi setiap pemberian tunai, manakala bantuan bencana turut diberikan pada kadar yang sama.
KUSKOP memaklumkan, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pula telah meluluskan moratorium berjumlah RM3.48 juta kepada 13,189 Sahabat Usahawan AIM setakat 27 Nov lepas, sekali gus membantu mereka menstabilkan aliran tunai sepanjang tempoh pemulihan pasca banjir.
“SME Bank pula menawarkan sokongan pembiayaan melalui Kemudahan Bantuan dan Adaptasi (RAFt) dengan jumlah pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta bagi membantu PKS mengurus aliran tunai dan menyesuaikan operasi selepas bencana,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menggerakkan dua skim bantuan kecemasan iaitu Co-operative Emergency Relief Fund sehingga RM3,000 dan Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi sehingga RM30,000 untuk memulihkan semula aktiviti perniagaan koperasi.
Turut disalurkan sebanyak 100 unit bakul makanan oleh Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) bernilai RM100 sebagai bantuan awal kepada komuniti usahawan dan keluarga terjejas.
“KUSKOP berharap inisiatif ini dapat membantu mempercepatkan proses pemulihan usahawan, PKS dan koperasi, seterusnya memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi pasca bencana dan mereka yang terjejas disaran menghubungi pejabat agensi KUSKOP bagi maklumat lanjut,” katanya.
-- BERNAMA