KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Banjir di Terengganu pulih sepenuhnya, namun Perak, Selangor, Perlis dan Pahang masih menempatkan mangsa banjir setakat 9 malam tadi.
Di TERENGGANU, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, Kuala Terengganu yang menempatkan 31 mangsa daripada 20 keluarga ditutup pada 8 malam tadi.
Banjir yang melanda Terengganu bermula 22 Nov itu memaksa hampir 11,000 mangsa berpindah ke lebih 500 PPS di lapan daerah, selain menyebabkan 16 sekolah ditutup selepas ditenggelami air manakala 48 lagi dijadikan PPS.
Pulau Redang, Kuala Nerus menjadi lokasi pertama dinaiki air tahun ini diikuti kawasan di daerah Marang, Besut, Kuala Terengganu, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman.
Di PERAK, 3,228 mangsa banjir daripada 947 keluarga masih berada di 19 PPS meliputi daerah Hilir Perak, Bagan Datuk, Manjung, Perak Tengah serta Larut, Matang dan Selama.
Sementara itu, di SELANGOR, 1,038 mangsa daripada 304 keluarga masih ditempatkan di 19 PPS, menurun berbanding 1,464 orang petang tadi yang meliputi kawasan Kuala Selangor, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang.
Di PERLIS, 551 mangsa terus berlindung di empat PPS, iaitu di Padang Besar, Kangar dan Arau, menurun daripada 696 mangsa pada sebelah petang.
Di PAHANG, hanya 124 mangsa daripada 34 keluarga masih berlindung di enam PPS selepas semua PPS di Temerloh ditutup petang tadi.
JPBN Pahang memaklumkan Bera mencatatkan 92 mangsa, diikuti Maran (25) dan Kuantan (tujuh), manakala paras Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran kekal melepasi paras bahaya.
-- BERNAMA