AM

ABIM Kemuka Enam Saranan Tambah Baik Hak OKU

03/12/2025 03:09 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hari ini menggariskan enam saranan bagi menambah baik hak orang kurang upaya (OKU) bersempena sambutan Hari OKU Antarabangsa 2025, yang disambut hari ini.

Naib Presiden ABIM Dr Mohamad Haeqal Ishak berkata enam saranan itu ialah keperluan meningkatkan empati rakyat terhadap OKU melalui pendidikan, latihan kesedaran dan penghayatan nilai ihsan dan memperkukuh peluang pekerjaan oleh kerajaan dan swasta.

Saranan turut merangkumi keperluan meningkatkan sistem sokongan OKU khususnya dari segi infrastruktur, peluasan akses pendidikan Islam, memperluas Program Disability Inclusive Leadership kepada semua peringkat bagi memahami keperluan dan hak OKU, serta galakan penyelidikan akademik berkaitan OKU bagi memperkukuh dasar, teknologi bantu dan strategi pembangunan masyarakat inklusif.

“Golongan OKU merupakan kelompok masyarakat yang masih kurang diberi perhatian sewajarnya dalam aspek polisi dan pembangunan negara. ABIM menzahirkan kebimbangan terhadap sikap kurang cakna dan empati dalam kalangan rakyat Malaysia berkaitan hak, potensi dan sumbangan golongan OKU.

“Kelemahan dari sudut dasar, persekitaran fizikal, penyampaian maklumat serta kekurangan infrastruktur mesra OKU telah menutup banyak peluang mereka untuk berkembang sebagai individu dan pemimpin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Haeqal berkata Malaysia yang dijangka mencapai status negara menua menjelang 2030 perlu memupuk nilai empati dalam kalangan generasi muda, agar mereka bersedia menyantuni ibu bapa yang memasuki kategori OKU pada usia lanjut, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pusat jagaan warga emas.

Beliau berkata ABIM juga menyambut baik inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi melalui pelaksanaan Disability Equality Training and Inclusive Leadership (DETAIL) pada 2024 yang melatih pemimpin pelajar universiti awam dan swasta mengenai kepimpinan inklusif disabiliti.

“Usaha seperti ini wajar dicontohi dan diperluas oleh kementerian lain, agensi kerajaan, pihak swasta, NGO (badan bukan kerajaan), institusi pendidikan serta masjid bagi meningkatkan empati dan kefahaman terhadap kehidupan OKU,” katanya.

Bagi memperkukuh kesedaran terhadap OKU, ABIM katanya akan meneruskan kempen “Cakna OKU: Hidupkan Sunnah yang Dilupakan” sebagai usaha memupuk nilai kemanusiaan dan ihsan melalui pendidikan masyarakat serta pembangunan pendidik dan dai inklusif.

Sambutan Hari OKU Antarabangsa diraikan pada 3 Dis setiap tahun bagi mengiktiraf, menghormati dan memperjuangkan hak serta penyertaan penuh golongan OKU dalam masyarakat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498361