SUKAN

AYPG 2025: Johannes Gabriel Sasar Pingat Emas Acara Powerlifting, Tekad Pecah Rekod Peribadi

06/12/2025 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Atlet powerlifting muda negara Johannes Gabriel Chew, membawa misi serampang dua mata apabila turun beraksi di Sukan Remaja Para Asia (AYPG) 2025 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), bermula Ahad ini.

Johannes, yang turut diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara, berkata beliau bukan sahaja mengintai pingat emas, malah bertekad memecahkan rekod peribadinya iaitu 126 kilogram (kg) yang dicatat ketika meraih gangsa di Kejohanan Dunia pada Oktober lepas.

Beliau berkata tanggungjawab sebagai pembawa bendera negara itu turut menjadi pembakar semangat untuknya melunaskan kedua-dua sasaran berkenaan dalam kategori yang disertainya iaitu bawah 65 kg.

“Kondisi saya sekarang okay dan saya akan cuba yang terbaik untuk sumbang pingat emas buat kontinjen negara,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan kontinjen negara ke Temasya Sukan Remaja Para Asia 2025 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Pengarah Majlis Sukan Negara Jefri Ngadirin.

Pada majlis itu jenama automotif Chery menyediakan 20 kenderaan sebagai pengangkutan atlet dari Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, Megat D Shahriman berkata beliau berharap atlet yang terpilih mewakili negara di kejohanan itu dapat membaiki pencapaian edisi 2021 di Manama Bahrain, yang menyaksikan Malaysia membawa pulang tiga emas, empat perak dan lima gangsa.

Pada edisi kali ini, 29 atlet negara menggalas cabaran dalam lapan acara merangkumi boccia, badminton, memanah, ping pong, olahraga, renang, powerlifting dan taekwondo.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499650