DUNIA

UNRWA Gesa Sokongan Politik Kukuh Diterjemah Kepada Peruntukan, Sokongan Operasi

07/12/2025 10:41 AM

KAHERAH, 7 Dis (Bernama-WAFA) -- Penasihat Media bagi Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) Adnan Abu Hasna pada Sabtu menggesa supaya sokongan antarabangsa serta sokongan politik yang kukuh terhadap agensi itu diterjemahkan kepada sokongan sebenar di lapangan melalui bantuan operasi dan peruntukan yang mencukupi.

Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan Abu Hasna berkata mandat UNRWA yang diperbaharui itu datang pada ketika rakyat Palestin menghadapi pencerobohan dan sekatan, sambil menyifatkan pembaharuan mandat berkenaan sebagai mesej sokongan yang jelas kepada jutaan pelarian Palestin.

Dengan 151 negara mengundi menyokong, beliau berkata keputusan itu mencerminkan komitmen global terhadap hak-hak rakyat Palestin serta penolakan terhadap usaha menjejaskan perjuangan sah mereka, sambil menambah bahawa sokongan sedemikian memberikan “momentum moral yang penting” kepada tugasan dan operasi UNRWA.

Beliau menjelaskan bahawa 95 peratus belanjawan UNRWA bergantung kepada sumbangan sukarela, dan tiada undang-undang yang mewajibkan negara untuk menyumbang.

Agensi itu kini berdepan kekurangan kewangan kira-kira US$200 juta yang diperlukan untuk mengekalkan perkhidmatan serta membayar gaji sehingga Mac.

Beliau turut menyatakan usaha berterusan oleh pegawai untuk mendapatkan peruntukan dan mempelbagaikan sumber pendapatan, dengan harapan kemajuan dapat dicapai dalam beberapa hari atau minggu akan datang.

Semua negara telah memulihkan sumbangan mereka, tambahnya, kecuali Amerika Syarikat yang memotong US$360 juta.

Abu Hasna berkata skop kerja UNRWA terus berkembang seiring peningkatan jumlah pelarian dan peluasan krisis, khususnya di kawasan yang musnah seperti Semenanjung Gaza dan Syria.

Keadaan ini menyebabkan kos meningkat dan beban semakin berat ke atas agensi berkenaan, yang kekal sebagai "talian hayat" bagi pelarian serta satu-satunya organisasi yang beroperasi sepenuhnya di dalam Gaza meskipun berdepan cabaran besar dan halangan yang disengajakan oleh Israel.

Beliau menyatakan bahawa UNRWA berjaya memulihkan sebahagian perkhidmatan di Gaza walaupun berlaku kemusnahan meluas dan sekatan pergerakan yang ketat.

Sesi persekolahan telah disambung semula untuk 300,000 pelajar di sekolah-sekolah UNRWA yang musnah, dengan 50,000 hadir secara fizikal manakala selebihnya mengikuti pembelajaran jarak jauh. Beberapa klinik perubatan turut dibuka semula, menyediakan perkhidmatan kepada sekitar 15,000 pesakit, dan pengagihan air diteruskan di kawasan penempatan sementara.

-- BERNAMA-WAFA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499698