SUKAN

Melaka FC Catat Kemenangan Pertama, Lonjak Kedudukan Di Liga Super

07/12/2025 10:46 AM

MELAKA, 7 Dis (Bernama) -- Melaka FC meraih kemenangan pertama musim ini selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat malam tadi, sekali gus membolehkan pasukan itu keluar daripada kedudukan tercorot liga.

Ketua Jurulatih Melaka FC Datuk K. Devan berkata dua gol awal pada separuh masa pertama memberi keyakinan kepada pemain untuk menguasai permainan.

“Susunan permainan dan taktikal pada separuh masa pertama kami berjalan baik serta mampu menyaingi NSFC manakala separuh masa kedua, lebih banyak bertahan dengan sangat baik sebagai satu pasukan termasuk dari segi disiplin.

“Kami diserang bertubi-tubi oleh lawan namun mereka menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan gawang tidak dibolosi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Pada perlawanan itu, dua jaringan Melaka FC dihasilkan penyerang import dari Brazil Juan Douglas de Silva seawal minit ke-3 dan ke-26.

Devan berkata kemenangan turut dipengaruhi kehadiran semula beberapa pemain termasuk Juan selepas pulih daripada kecederaan, yang memberi impak positif kepada corak permainan pasukan.

Beliau berkata mereka perlu mengekalkan momentum pada perlawanan seterusnya menentang Kuching City FC di tempat lawan pada 19 Dis.

Berhubung jendela perpindahan, beliau berkata pihak pengurusan sedang berusaha mendapatkan pemain import berkualiti, khususnya untuk bahagian tengah, serangan dan pertahanan bagi menambah baik taktikal.

Sementara itu, Ketua Jurulatih NSFC Mohd Nidzam Jamil berkata corak permainan yang tidak menentu menyebabkan berlaku beberapa kesilapan mudah sehingga memberi peluang lawan menjaringkan gol.

“Separuh masa pertama, kami tidak bermain dengan baik dan cuba bangkit pada separuh masa kedua namun prestasi malam ini hanya sederhana. Banyak perlu diperbaik untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Kemenangan Melaka FC itu membolehkan pasukan itu naik ke tangga 10 liga dengan mengumpul enam mata daripada sembilan perlawanan manakala NSFC tempat keenam dengan 13 mata selepas 10 perlawanan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499699