KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Bekas Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad meninggal dunia pada usia 81 tahun awal pagi ini.
Menurut hantaran di Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, jenazah Allahyarham dibawa ke masjid di Shah Alam itu bagi urusan mandi dan kafan selepas solat Subuh serta solat jenazah pada 9 pagi.
“Jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam USJ22, (Subang Jaya),” menurut hantaran berkenaan.
Syaikh Ismail merupakan Tokoh Maal Hijrah 1443H/2021 Peringkat Kebangsaan serta Ahli Jawatankuasa Literasi Al Quran Selangor dan Pensyarah Talaqi Lanjutan Tinggi Akademi Literasi Al Quran Selangor.
Allahyarham yang lahir di Dungun, Terengganu merupakan antara kumpulan pelajar Malaysia pertama menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir dan pernah menjadi Imam Masjid Putrajaya selama lima tahun sebelum berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negara paling lama pada 2007 hingga 2019.
-- BERNAMA