PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan dua inisiatif di bawah agenda pembangunan rakyat, iaitu program Sahabat Penggerak MADANI dan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0.
Kedua-dua inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta memperkasakan komuniti di peringkat akar umbi.
Pelancaran itu diadakan bersempena dengan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat lepas dan berakhir hari ini.
Dua inisiatif tersebut menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan berasaskan nilai MADANI dan sistem perlindungan sosial yang inklusif.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, bersama barisan Menteri Kabinet, ketua jabatan serta pegawai kanan perkhidmatan awam.
Antara yang hadir ialah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Turut sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Majlis pelancaran itu menjadi kemuncak program Rancakkan MADANI dengan pelbagai pengisian termasuk pameran interaktif, sesi perkongsian dan forum pembaharuan sistem penyampaian awam.
Sahabat Penggerak MADANI merupakan individu yang dilatih Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) untuk menjadi ejen penyebar kesedaran dan pemahaman tentang kenegaraan, kepimpinan serta dasar-dasar kerajaan semasa di peringkat akar umbi.
SIKR pula satu inisiatif Kerajaan MADANI bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar eKasih mendapat perlindungan insurans.
Selepas pelancaran kedua-dua inisiatif berkenaan, Anwar turut mengadakan tinjauan mesra bersama peserta dan pengunjung di sekitar ruang pameran sebelum beredar meninggalkan dewan utama.
Program Rancakkan MADANI ialah kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.
Serentak dengan program itu, berlangsung Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang menghimpunkan pemikir dasar dalam kalangan penjawat awam serta pemain industri.
Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu telah menarik 304,107 pengunjung setakat dua hari penganjuran program, melebihi sasaran 300,000 pengunjung.
-- BERNAMA