MELAKA, 7 Dis (Bernama) -- Sebanyak 73 peratus daripada 1,993 aduan yang diterima sepanjang 10 Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang diadakan pada tahun ini berjaya diselesaikan, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Bagaimanapun, beliau berkata angka berkenaan bukanlah ukuran sebenar kejayaan kerana yang lebih penting adalah senyuman dan kelegaan rakyat apabila masalah mereka didengari dan diselesaikan.
“Untuk itu, saya mengajak seluruh rakyat terutama warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil untuk memanfaatkan peluang dan ruang ini sebaik mungkin dengan menyampaikan aduan, pandangan serta cadangan terus kepada exco dan wakil rakyat yang hadir.
“Saya menaruh harapan agar dalam tempoh dua minggu pelaksanaan WRUR DUN Bukit katil ini, setiap isu yang dibangkitkan bukan sekadar direkod tetapi diteliti, diambil tindakan susulan dan diselesaikan mengikut keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Integriti Nasional dan Hari Anti Rasuah Kebangsaan peringkat Melaka 2025 serta pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil merangkap Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.
Sementara itu, Adly dalam ucapannya berkata sebanyak 258 aduan dan keperluan rakyat DUN Bukit Katil telah direkodkan untuk diperhalusi dan diambil tindakan oleh agensi dan jabatan kerajaan berkaitan serta dipantau sendiri oleh exco berkaitan.
Beliau berkata ia jelas membuktikan program berkenaan bukanlah bersifat retorik politik seperti dicanang sesetengah pihak, malah menunjukkan iltizam dan kesungguhan kerajaan negeri untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Melaka.
-- BERNAMA