MELAKA, 7 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri Melaka mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri untuk memeriksa pokok, terutamanya yang di tepi jalan raya supaya tidak membahayakan pengguna.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata walaupun setiap PBT mempunyai Jawatankuasa Cantasan Pokok untuk melaksanakan kerja menebang dan mencantas, namun tindakan proaktif perlu diambil segera susulan kejadian semalam.
“Kita memang ada jawatankuasa itu dan mereka melaksanakan aktiviti tersebut secara berkala tetapi dalam keadaan cuaca tidak menentu akibat perubahan iklim, perkara itu (pokok tumbang) boleh berlaku.
“Kebanyakan pokok di Melaka telah diinsuranskan dan mangsa boleh membuat tuntutan selain kerajaan negeri juga akan melihat bantuan yang boleh dihulurkan kepada mereka,” katanya.
Rais berkata demikian kepada pemberita pada Sambutan Hari Integriti Nasional dan Hari Antirasuah Kebangsaan peringkat Melaka 2025 serta pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil Adly Zahari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.
Semalam, seorang penunggang motosikal berusia 22 tahun maut manakala wanita 19 tahun yang memandu Perodua Myvi cedera cedera selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Tun Razak-Ayer Keroh.
-- BERNAMA