JENAYAH & MAHKAMAH

AKPS Nafi Ketulenan Video Tular Ketua Pengarah Beri Sokongan Pemberian Bantuan

07/12/2025 12:15 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menafikan ketulenan dua video tular di media sosial TikTok yang memaparkan wajah dan suara menyerupai Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

AKPS dalam kenyataan turut menasihati orang ramai berwaspada terhadap video berkenaan yang menggunakan teknologi deepfake untuk meniru identiti Mohd Shuhaily bagi tujuan penipuan, kononnya menyatakan sokongan terhadap pemberian bantuan tertentu.  

“Orang ramai diingatkan supaya tidak tertipu dan terpedaya dengan kandungan yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake, yang semakin mudah dimanipulasi bagi tujuan penipuan.

“Bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai sebarang bentuk bantuan yang disediakan kerajaan, orang ramai dinasihatkan merujuk kepada saluran media rasmi dan laman sesawang kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan AKPS sedang meneliti perkara itu dengan serius dan menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menghasilkan atau menyebarkan kandungan palsu tersebut.

– BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499726