PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Malaysia menegaskan pendirian bahawa penyelesaian sebenar terhadap konflik Palestin mesti bersifat menyeluruh dan berasaskan keadilan sejagat, dengan mengiktiraf hak rakyat Palestin serta menghentikan kezaliman dan penjajahan oleh rejim Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian menerusi perbualan telefon bersama Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani semalam, yang memaklumkan perkembangan terkini mengenai usaha perdamaian Asia Barat.
"Perdana Menteri Qatar maklumkan bahawa walaupun pendekatan perdamaian dipelopori Presiden Trump (Donald Trump) disambut baik oleh negara-negara Islam, mereka masih musykil kerana pelanggaran oleh Israel berterusan.
"Kita akan menyuarakan dengan tegas dan berani bahawa penyelesaian mesti dengan mengiktiraf hak rakyat Palestin dan Gaza, dan menghentikan kezaliman, penaklukan dan penjajahan oleh rejim Israel," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri berkata Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi telah menghubungi beliau bagi menyatakan kesediaan negara itu menganjurkan satu sidang khas bagi pemulihan Gaza dan menjemput Malaysia sebagai pengerusi bersama sidang berkenaan.
"Kita sedang bekerjasama dan meneliti kebijaksanaan acara program itu kerana tanggungjawab dari segi keadilan sejagat itu harus kita sempurnakan," katanya.
-- BERNAMA