AM

Kerajaan MADANI Komited Tamatkan Kemiskinan Tegar Suku Pertama 2026 - PM Anwar

07/12/2025 02:26 PM

PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Malaysia diiktiraf antara negara di dunia yang hampir menoktahkan kemiskinan tegar menerusi pelaksanaan dasar dan program berfokus rakyat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kadar kemiskinan tegar di negara ini kini hanya tinggal 0.09 peratus, sekali gus menunjukkan keberkesanan pendekatan inklusif dan menyeluruh dalam memastikan tiada rakyat terpinggir daripada arus pembangunan negara.

"Malaysia diiktiraf di dunia sekarang dari sudut kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar. 

"Malaysia bersyukur kerana kemiskinan tegar kini tinggal 0.09 peratus sahaja," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini hari ini.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa baki 0.09 peratus itu mampu diselesaikan sepenuhnya pada suku pertama 2026, sekali gus menjadikan Malaysia bebas kemiskinan tegar sepenuhnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kadar itu merupakan pencapaian bersejarah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk kementerian, agensi dan kerajaan negeri yang melaksanakan program antaranya Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI dan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), yang dipantau secara langsung.

"Ini semua dengan maksud tidak ada kelompok yang tersisih dan tertinggal," katanya.

Perdana Menteri berkata pencapaian itu menggambarkan kejayaan dasar ekonomi MADANI yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat.

Program Rancakkan MADANI selama tiga hari bermula Jumaat lepas, menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa kepada orang ramai.

Program Rancakkan MADANI ialah kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499759