AM

Program Kasih Kanak-Kanak Diiktiraf Malaysia Book Of Records - Nancy Shukri

07/12/2025 03:11 PM

LUNDU (Sarawak), 7 Dis (Bernama) -- Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai “program advokasi perlindungan kanak-kanak terbesar”, dengan penyertaan 128,148 kanak-kanak di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata program tersebut telah dilaksanakan melalui Jabatan Pembangunan Kanak-kanak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat di 564 sekolah dan 46 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak seluruh negara, memberi manfaat kepada 71,213 kanak-kanak.

“Di Sarawak, program ini dilaksanakan di 71 buah sekolah dan lapan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak, melibatkan 14,895 peserta yang menerima manfaat secara langsung.

“Program ini turut menggalakkan masyarakat menjadi “mata dan telinga” komuniti dengan melaporkan kes penderaan kanak-kanak menerusi Talian Kasih 15999, bagi memastikan setiap anak dapat hidup dalam persekitaran yang lebih selamat,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Karnival Sambutan Hari Kanak-kanak di Kampung Sempadi di sini hari ini.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata pada 18 Nov lepas, KPWKM telah melancarkan Pelan Tindakan Dasar Kanak-Kanak Negara 2026–2030 yang merangkumi 141 tindakan di bawah empat objektif dasar dan keutamaan strategik, bagi memperkukuh perlindungan serta pembangunan kanak-kanak.

“Menerusi Forum ICT ASEAN mengenai Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian 2025, Malaysia menegaskan komitmen terhadap tindakan serantau berkaitan keselamatan digital kanak-kanak, selari dengan Pelan Induk Digital ASEAN 2025.

“Anak-anak yang hadir hari ini adalah cerminan masa depan negara dan suara mereka adalah harapan Malaysia yang lebih penyayang dan progresif,” katanya.

Bertemakan “Hari Ini, SuaraKu”, beliau berkata setiap kanak-kanak mempunyai suara yang perlu didengar dengan hormat dan diambil kira dalam semua keputusan yang menyentuh kehidupan mereka.

Pada majlis itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong memaklumkan sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi Projek Naik Taraf Jalan Perhubungan Desa (JPD) di Jalan Sampadi yang kini sedang dilaksanakan, manakala satu lagi projek naik taraf JPD berhampiran Masjid telah siap sepenuhnya dengan peruntukan RM320,000.

“Usaha ini akan memudahkan pergerakan penduduk, memacu ekonomi tempatan, dan memastikan anak-anak kita pulang dari sekolah dengan lebih selamat dan selesa,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499763