PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa penjawat awam untuk mempamerkan prestasi perkhidmatan yang lebih baik berbanding sebelum ini, bagi membolehkan rakyat menerima manfaat terbesar.
Bagi tujuan itu, beliau mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk memantau prestasi semua penjawat awam di negara ini.
Anwar berkata peningkatan prestasi itu adalah wajar selaras dengan pelarasan gaji yang dilaksanakan menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Saya telah beritahu kepada KSN, KPPA terutama Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican (untuk) pantau supaya prestasi penjawat awam jauh lebih baik daripada yang pernah kita catat sebelumnya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini hari ini.
Anwar berkata Kerajaan MADANI sentiasa prihatin dengan aspek kebajikan penjawat awam dan perkara itu mendorong kepada pelaksanaan SSPA.
Pada Ogos 2024, Perdana Menteri pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19 berkata pesara dan penerima pencen terbitan akan menerima pelarasan pencen sama dengan kenaikan peratusan yang dinikmati penjawat awam sedang berkhidmat, melalui dua fasa.
Anwar mengumumkan pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim SSPA akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada Dis 2024, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Jan 2026.
-- BERNAMA