Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Sektor insurans am Malaysia mengakhiri 2025 dengan daya tahan yang kukuh namun masih mempunyai kelemahan asas.
Industri ini melaporkan pertumbuhan premium yang stabil dan keputusan taja jamin yang lebih kukuh, namun ia turut menunjukkan kelemahan berterusan melibatkan kerugian dalam segmen motor, peningkatan kos pembaikan dan risiko berkaitan iklim.
Bagaimanapun, prestasi keseluruhan industri kekal stabil, namun aliran asas menunjukkan penyesuaian yang lebih mendalam diperlukan bagi meningkatkan daya tahan industri menuju 2026.
Pertumbuhan Sederhana
Data industri yang disediakan oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) kepada Bernama menunjukkan jumlah premium bertulis kasar (GWP) bagi separuh pertama 2025 meningkat empat peratus kepada RM12.3 bilion daripada RM11.8 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Keuntungan taja jamin bertambah kukuh sebanyak RM153 juta kepada RM629 juta, mencerminkan disiplin kos yang lebih baik dan prestasi yang aktif dalam beberapa portfolio utama.
Segmen kebakaran, kemalangan diri (PA) serta marin, penerbangan dan transit (MAT) muncul sebagai segmen paling stabil pada 2025.
Kebakaran iaitu barisan perniagaan kedua terbesar, berkembang 10.4 peratus kepada RM2.6 bilion dengan nisbah gabungan kekal pada 67.3 peratus yang bermaksud bagi setiap RM1 premium yang diperoleh, 67.3 sen dibelanjakan untuk tuntutan dan kos operasi.
PA berkembang 11.2 peratus kepada RM800 juta. MAT juga kekal menguntungkan, membantu meredakan kelemahan dalam bahagian-bahagian lain industri.
Bagaimanapun, keuntungan ini diimbangi oleh tekanan berterusan daripada segmen motor.
Insurans Motor
Insurans motor kekal sebagai portfolio terbesar dengan 42.8 peratus daripada jumlah premium, tetapi terus melemahkan prestasi taja jamin secara keseluruhan.
Segmen ini berkembang 5.7 peratus daripada lapan peratus pada 2024.
Lebih ketara lagi, ia terus beroperasi dengan kerugian. Nisbah gabungan kekal berada pada 102.2 peratus yang menunjukkan tuntutan dan kos operasi melebihi pendapatan premium.
Segmen ini dibebani oleh tekanan yang berterusan apabila kadar kemalangan jalan raya terus meningkat kepada 115 kes bagi setiap 100,000 penduduk, satu aliran peningkatan sejak 2022.
Ia juga memacu jumlah tuntutan yang lebih tinggi selain merumitkan usaha untuk menstabilkan harga insurans motor.
Kos pembaikan terus meningkat. Inflasi alat ganti bertambah pada kadar tahunan berkompaun sebanyak 10 peratus sejak 2021, menjadikan komponen kenderaan sebagai satu daripada kategori perbelanjaan tuntutan yang berkembang paling pesat selain mendorong segmen ini lebih ke arah kerugian.
Kerugian akibat banjir
Tuntutan berkaitan banjir kurang kekerapannya berbanding kemalangan motor, namun tahap kerugiannya kekal menjadi kebimbangan utama bagi pihak penanggung insurans.
Industri terus menjadikan banjir 2021-2022 di Malaysia sebagai titik rujukan dalam perancangan risiko memandangkan tragedi berkenaan menyebabkan kerugian antara RM5.5 bilion hingga RM6.5 bilion dan menyebabkan lebih 40,000 orang hilang tempat tinggal.
Walaupun begitu, penembusan insurans banjir kekal rendah.
Menurut PIAM, perlindungan banjir yang boleh ditambah kepada perlindungan kebakaran boleh berharga serendah RM14 sebulan manakala perlindungan bahaya khas, satu tambahan pilihan untuk insurans motor, biasanya hanya merangkumi kira-kira 0.5 peratus daripada jumlah yang diinsuranskan.
Kemampuan membeli insurans bukanlah satu halangan utama, namun kadar penyertaannya masih terhad.
Ini menyebabkan ramai isi rumah dan perniagaan terdedah kepada bencana yang dipacu oleh perubahan iklim.
Kemajuan Digitalisasi, Penerimaan Tidak Sekata
Kemajuan ketara dicapai pada 2025 dari segi penyelesaian digital dengan kadar penerimaan yang berbeza antara syarikat insurans.
Projek rintis sistem Laporan Polis Dalam Talian atau e-Reporting (ePR) dilancarkan pada 1 Sept, 2025 di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Ia membolehkan pengguna jalan raya membuat laporan polis bagi kemalangan kecil secara dalam talian. Secara keseluruhannya, sebanyak 328 laporan difailkan melalui platform tersebut sehingga 30 Nov, 2025.
Penanggung insurans turut memperluas penggunaan aplikasi bantuan tepi jalan digital (DRA) yang membolehkan pemegang polisi mendapatkan perkhidmatan tunda dan menjejak tuntutan secara digital.
Kaedah ini meningkatkan pengalaman pelanggan dan kecekapan operasi, tetapi penerimaan berskala penuh adalah secara beransur-ansur selain impak seluruh industri akan mengambil masa untuk direalisasikan.
Baucar untuk Kumpulan Berpendapatan Rendah
Program Baucar Perlindungan Tenang, inisiatif kerajaan yang menyediakan baucar bersubsidi untuk membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan perlindungan insurans atau takaful asas, kekal sebagai saluran utama yang menawarkan perlindungan.
Pelaksanaan sepanjang 2025 memperkukuh peranan program ini dalam memperluas akses kepada perlindungan insurans asas.
Selain itu, penanggung insurans juga memperdalam tumpuan mereka terhadap penyelidikan risiko kenderaan elektrik (EV) kerana penggunaan EV memperkenalkan struktur kos pembaikan dan pendedahan risiko yang baharu.
Penanggung insurans menyedari iaitu profil risiko motor akan berubah dari semasa ke semasa apabila jumlah penggunaan EV meningkat, menjadikan pembangunan produk dan analisis berasaskan data sebagai satu keutamaan penting.
Keutamaan 2026
PIAM menggariskan beberapa keutamaan untuk 2026.
Ini termasuk pembangunan bakat melalui program General Insurance Internship for Talent (GIIFT), inisiatif pendidikan pengguna yang kukuh serta kaedah penggunaan kalkulator kos binaan untuk menangani isu kekurangan perlindungan insurans hartanah.
Dua cabaran yang lebih besar turut membentuk prospek 2026 iaitu risiko kewangan dan keselamatan akibat peningkatan jumlah motosikal tanpa insurans serta keperluan untuk membina daya tahan iklim yang lebih kukuh.
Penanggung insurans mengulangi sokongan mereka terhadap sains iklim dan merancang untuk meningkatkan pengurusan risiko serta amalan taja jamin bagi menyerap kejutan berkaitan iklim dengan lebih baik.
Secara keseluruhannya, 2025 merupakan tahun yang stabil bagi sektor insurans am Malaysia, disokong oleh pertumbuhan dalam segmen utama serta kemajuan beransur-ansur dalam pendigitalan.
Bagaimanapun, kerugian berterusan dalam segmen motor dan peningkatan kesan peristiwa berkaitan iklim mempamerkan isu struktur yang belum dapat diselesaikan.
Industri ini mula beralih kepada penyelesaian yang melibatkan kecekapan operasi, penggunaan digital, keterangkuman kewangan dan kesiapsiagaan terhadap EV.
Sama ada usaha ini mencukupi untuk menangani kelemahan yang lebih mendalam akan menjadi lebih jelas pada 2026, tahun yang dijangka menguji kemampuan industri untuk beralih daripada sekadar mengurus tekanan kepada membina daya tahan jangka panjang.
-- BERNAMA