SUKAN

Sukan SEA: Hoki 5S Negara Buka Kempen Langkah Kanan

07/12/2025 08:36 PM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

BANGKOK, 7 Dis (Bernama) -- Skuad hoki 5 sebelah (5S) lelaki negara mempamerkan aksi menarik dalam misi memburu pingat emas Sukan SEA 2025 apabila membelasah Filipina 18-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A di Stadium Hoki RTAF, di sini hari ini.

Dalam perlawanan kedua hari yang sama, skuad bimbingan Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman mempamerkan penguasaan penuh sejak wisel permulaan hanya beberapa jam selepas membuka kempen dengan kemenangan 4-2 ke atas Indonesia pada sebelah pagi.

Malaysia tampil bertenaga dengan empat pemain mencetak hatrik masing-masing menerusi Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee, Muhammad Muhibuddin Moharam dan Syarman Mat Tee.

Dominasi diteruskan skuad negara apabila Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini, Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran serta Muhammad Arif Syafie Ishak menyumbang enam lagi gol sekali gus melengkapkan kemenangan besar berkenaan.

Dalam pada itu, skuad wanita negara turut membuka kempen dengan langkah kanan apabila bangkit mengatasi Indonesia 5-3 pada aksi Kumpulan A yang berlangsung hari ini.

Wan Nur Syafiqah Syahirah Wan Nordin berjaya menyumbang dua gol masing-masing pada minit ketiga dan kesembilan, diikuti jaringan Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri (12’), Nor Adilah Abdul Malik (23’) dan Hasya Syahida Saifuddin (27’).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499897