JENAYAH & MAHKAMAH

Ahli Parlimen Padang Serai Didakwa Subahat Kes Rasuah RM400,000

08/12/2025 02:00 PM

SHAH ALAM, 8 Dis (Bernama) -- Ahli Parlimen Padang Serai Datuk Azman Nasrudin hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersubahat berhubung kes rasuah RM400,000 dalam projek penternakan lembu pedaging Kerajaan Negeri Kedah lima tahun lepas.

Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan ahli perniagaan Amar Assuat Abu Bakar, 41, untuk menerima suapan sebanyak RM400,000 daripada Mohd Hassanaim Fauzi, 39.

Wang itu sebagai upah membantu Mohd Hassanaim mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu, Kedah daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif KAHB mengeluarkan surat tawaran kepada Mohd Hassanaim bagi projek itu. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan berhadapan pejabat Syarikat Angsa Emas Beaute Sdn Bhd, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada kira-kira 5 petang 23 Jun 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin dan Asmaa’ Zamri manakala tertuduh diwakili peguam N. Surendran, Nizamuddin Abdul Hamid, Sasha Lyna Abdul Latif serta Shahid Adli Kamarudin.

Terdahulu, Muaz Ahmad menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin mengambil kira status Azman selaku Ahli Parlimen berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Surendran membantah jumlah jaminan yang terlampau tinggi dan serahan pasport kepada mahkamah atas alasan anak guamnya berusia 53 tahun, tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana selaku Ahli Parlimen beliau perlu hadir ke persidangan selain mempunyai isteri serta lima anak. 

Mahkamah membenarkan Azman diikat jamin sebanyak RM75,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 13 Jan tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Surendran turut memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan terhadap Azman sebelum tarikh sebutan semula kes itu.

Sementara itu, Amar Assuat mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan wang tunai berjumlah RM400,000 daripada Mohd Hassanaim bagi membantunya mendapatkan projek yang sama.

Ahli perniagaan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah restoran serta di tepi jalan berhampiran sebuah syarikat di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada 20 dan 23 Jun 2020 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mohd Nasir membenarkan Amar Assuat diikat jamin RM75,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan manakala pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 13 Jan 2026 sebagai tarikh sebutan kes.

Amar Assuat diwakili peguam R. Yoganathan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Muaz Ahmad dan Asmaa’.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499972