MELAKA, 8 Dis (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Melaka mempertingkatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan pelajar di kawasan sekolah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata antaranya dengan mengukuhkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan sekolah serta penambahan rondaan pasukan keselamatan di kawasan berisiko.
Beliau berkata sekolah turut diperkukuh dengan latihan kesiapsiagaan kecemasan, pengaktifan pasukan Guru Penyelaras Keselamatan serta pemantapan sistem rekod dan pelaporan insiden.
“Usaha meningkatkan literasi keselamatan murid dan penglibatan komuniti setempat turut menjadi keutamaan bagi memastikan ekosistem sekolah kekal selamat dan kondusif.
“Setiap sekolah juga perlu sentiasa cakna dengan faktor keselamatan menerusi Sistem Penarafan Keselamatan Sekolah (SPKS) secara berkala setiap tahun,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) yang ingin tahu tentang usaha bagi memastikan sekolah menjadi kawasan selamat untuk anak-anak di Melaka.
Dalam pada itu, Rahmad berkata pengaruh media sosial dan akses mudah kepada internet menjadi antara punca berlakunya kes jenayah dalam kalangan pelajar sekolah.
Beliau berkata bagi mengelak penyalahgunaan teknologi, Kementerian Pendidikan mengekalkan dasar larangan membawa telefon bimbit ke sekolah bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan telefon seperti rakaman tanpa izin, akses kepada kandungan tidak sesuai dan interaksi tidak sihat di media sosial semasa waktu sekolah.
“Sehubungan itu, antara inisiatif utama diambil oleh beberapa sekolah ialah penggunaan alat pengesan logam di pintu masuk sekolah bagi mengesan murid dan pelajar yang cuba membawa telefon bimbit secara sembunyi.
“Penggunaan alat pengesan logam membantu guru bertugas mengesan telefon bimbit dengan lebih cepat dan tepat tanpa perlu melakukan pemeriksaan fizikal yang boleh menimbulkan rasa kurang selesa kepada murid dan pelajar,” katanya.
-- BERNAMA