AM

Program 'Anak Pokok Harapan' Pacu Ekonomi Pertanian Desa Di Negeri Sembilan

08/12/2025 01:13 PM

SEREMBAN, 8 Dis (Bernama) -- Peruntukan RM250,000 menerusi Belanjawan Negeri Sembilan 2026 menerusi inisiatif Anak Pokok Harapan: 1 Desa 1 Tanaman platform terbaik bagi memacu pertumbuhan ekonomi sektor pertanian luar bandar selain merancakkan aktiviti hiliran dan menambah pendapatan rakyat.

EXCO Kanan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kerajaan negeri akan memperluaskan program ini secara berperingkat di seluruh kampung sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

"Pendekatan ini membolehkan lebih ramai penduduk kampung terlibat dalam aktiviti penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran, sekali gus menjadikan sektor pertanian luar bandar sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN, Datuk Mohd Razi Mohd Ali (BN-Sungai Lui) yang mahu penjelasan mengenai inisiatif satu kampung satu produk pertanian di negeri ini.

Jalaluddin berkata melalui pelaksanaan program ini, ia dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan ekonomi kampung, memenuhi keperluan tempatan, membuka ruang kepada aktiviti hiliran serta meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh.

Jalaluddin (BN-Pertang) berkata program itu turut memanfaatkan tanah bagi pengeluaran tanaman buah-buahan bernilai tinggi dan sayuran segar, di samping meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar serta menyokong agenda keselamatan makanan negeri.

"Program Touchpoint Buah-buahan dilaksanakan di 65 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri dengan penyertaan lebih 1,800 peserta daripada kalangan penduduk tempatan.

"Program ini melibatkan pemberian anak benih pokok buah-buahan berkualiti seperti durian, cempedak dan kelapa serta input pertanian," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500007