EKONOMI

Peruntukan Pinjaman Lebih Rendah Tingkatkan Untung Bank Pada Suku Ketiga 2025 - RAM Ratings

08/12/2025 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menyaksikan peningkatan keuntungan untuk lapan kumpulan perbankan tempatan terpilih yang diberi penarafan oleh agensi penarafan kredit pada suku ketiga 2025 (S3 2025).

Agensi itu berkata peningkatan berkenaan sebahagian besarnya didorong oleh pengurangan peruntukan kerugian pinjaman dan pada tahap yang lebih kecil, pendapatan bukan faedah yang lebih kukuh, walaupun terdapat penguncupan dalam margin faedah bersih (NIM).

Naib Presiden Kanan Penarafan Institusi Kewangan Wong Yin Ching berkata pertumbuhan pinjaman sektor perbankan memperoleh sedikit momentum pada S3 2025, walaupun pertumbuhan tahunan sembilan bulan 2025 sebanyak 4.5 peratus kekal di bawah pengembangan 5.5 peratus bagi keseluruhan 2024.

“Purata NIM bagi lapan bank itu menguncup sebanyak lima mata asas (bps) kepada 1.99 peratus pada S3 2025 (S1 2025: 2.04 peratus, S2 2025: 2.03 peratus), mencerminkan pemotongan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas pada Julai 2025 dan persaingan deposit yang berterusan.

“Dengan persaingan deposit hujung tahun yang meningkat secara bermusim, margin dijangka terus tertekan pada S4 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata trend nisbah kos kredit pinjaman dalam kalangan bank bagi kumpulan itu adalah bercampur-campur pada S3 2025.

“Walaupun lebihan peruntukan tambahan telah diketepikan berikutan ketidaktentuan makroekonomi yang berterusan, masuk kira semula dan pengkelasan semula peruntukan pinjaman ke dalam portfolio sekuriti untuk peminjam korporat besar telah mengimbangi sepenuhnya peningkatan dalam peruntukan.

“Secara keseluruhan, purata nisbah kos kredit pinjaman untuk lapan bank itu meningkat kepada 10 mata asas tahunan pada S3 2025 (S1 2025: 9 mata asas; S2 2025: 21 mata asas),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata nisbah pinjaman terjejas kasar menurun sedikit kepada 1.41 peratus pada akhir September 2025 (akhir Disember 2024: 1.44 peratus) — iaitu paras terendah dalam sejarah.

“Pendedahan pinjaman langsung terhadap tarif AS adalah minimum dan kesan sekunder daripada gangguan perdagangan global dilihat terhad pada peringkat ini.

“Bagaimanapun, kami tetap berwaspada tentang risiko penurunan, kerana RAM menjangkakan pertumbuhan eksport akan menjadi sederhana dan kesan tarif timbal balas AS dan pemulihan daripada aktiviti menambah belian awal sebelum ini akan mula memberi kesan,” tambah beliau.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500103