AM

Berita-berita Ringkas Dewan Negara: 8 Dis

08/12/2025 06:11 PM

 

JAKOA TIADA RANCANGAN WUJUD DANA AMANAH, SKIM KEWANGAN BELIA ORANG ASLI 

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) setakat ini tidak mempunyai rancangan untuk mewujudkan dana amanah atau skim kewangan mikro khas bagi belia Orang Asli untuk tujuan pendidikan dan ekonomi.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang, berkata kerajaan bagaimanapun komited memperkasakan ekonomi Orang Asli menerusi Program Memperkasakan Perniagaan Orang Asli (PERKASA) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Program ini menyediakan geran bantuan peralatan dan premis tanpa faedah serta tidak perlu dibayar balik, dengan sasaran pelbagai golongan termasuk belia, wanita, dan koperasi.

“Antara inisiatif utama ialah Program Usahawan Muda dengan geran sehingga RM10,000, Program Pengembangan Usahawan dan Usahawan Wanita dengan bantuan maksimum RM35,000, serta Geran Koperasi sehingga RM300,000 bagi projek ekonomi dan pembinaan premis perniagaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Manolan Mohamad yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang mewujudkan dana amanah atau skim kewangan mikro itu pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA 

 

KKR GUNA PH JKR NILAI KETAHANAN IKLIM INFRASTRUKTUR JALAN 

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Kerajaan menggunakan Penarafan Hijau Jabatan Kerja Raya (PH JKR) sebagai indikator utama untuk menilai tahap ketahanan iklim (climate resilience) dalam pelaksanaan projek infrastruktur jalan bernilai RM50 juta ke atas.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kerajaan juga sentiasa menggalakkan kerjasama rentas kementerian bagi pelaksanaan inisiatif Kejuruteraan Nilai (VE) dan Penilaian Nilai (VA).

“Contoh penerapan inisiatif ini ialah pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Arah Selatan, Seremban yang baru dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Projek ini mempunyai pensijilan Green Building Index (GBI) termasuk penggunaan tenaga solar, sistem tadahan air hujan, stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), laluan pejalan kaki berlandskap, laluan berbumbung dan sistem pengudaraan yang baik,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Michael Mujah Lihan mengenai piawaian digunakan untuk menilai tahap ketahanan iklim bagi pelaksanaan projek baharu dan penyelenggaraan jalan sedia ada, serta penerapan amalan terbaik dalam projek naik taraf jalan raya negara.

-- BERNAMA 

 

MOT, KKR BINCANG PERMOHONAN MENAIKKAN HAD BERAT MUATAN LORI DI SARAWAK

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) berhubung permohonan menaikkan had berat muatan lori yang menggunakan Jalan Persekutuan di Sarawak dan penyerahan kuasa pentadbiran kepada negeri Borneo.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata perbincangan pertama akan dibuat pada petang ini susulan terdapat keperluan untuk meningkatkan had muatan terutamanya selepas projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang menghubungkan Kuching dan Miri siap dan dibuka untuk pengguna jalan raya.

“Di Sabah belum lagi sebab Pan Borneo belum siap. Ini adalah khususnya Pan Borneo di Sarawak dari Kuching sampai ke Miri sudah siap jadi ada keperluan untuk meningkatkan had muatan ini," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai cadangan menaikkan had berat muatan lori di Sarawak selari amalan di Semenanjung serta kemungkinan penyerahan kuasa pentadbiran jalan kepada negeri-negeri Borneo bagi membolehkan pengurusan lebih berkesan.

-- BERNAMA

 

TEKNOLOGI WABCORE SEDANG DITELITI TANGANI HAKISAN PANTAI

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Potensi Teknologi Wave Breaker And Coral Restorer (WABCORE) yang mampu mengurangkan tenaga ombak sehingga 60 peratus mengikut keadaan setempat, sedang dikaji sebagai pendekatan baharu menangani hakisan pantai termasuk di Terengganu.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata WABCORE merupakan struktur pemecah ombak tenggelam yang turut berfungsi sebagai tukun tiruan dan telah diuji berkesan melalui kajian makmal serta lapangan oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

“Projek rintis di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang menunjukkan pengurangan hakisan serta penambahan pantai sehingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun, selain meningkatkan produktiviti perikanan setempat.

"Pemasangan WABCORE di Pulau Tinggi, Johor pula mendapati 40 peratus permukaan struktur telah dilitupi terumbu karang dalam tempoh sama,” katanya menjawab pertanyaan Senator Che Alias Hamid mengenai potensi teknologi baharu itu menangani hakisan pantai di Terengganu.

Beliau berkata teknologi sama pernah diuji di Pantai Rhu Muda, Marang pada 2018, namun sebahagian strukturnya terjejas semasa Monsun Timur Laut, dan reka bentuk kini sedang diperhalusi bagi meningkatkan ketahanannya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500116