AM

Mangsa Banjir Di Perak Menurun, Selangor Meningkat Sedikit

08/12/2025 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Perak yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan manakala bilangan mangsa di Selangor meningkat sedikit pada petang ini berbanding pagi tadi.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir menurun kepada 487 orang daripada 140 keluarga yang masih berlindung di enam PPS membabitkan daerah Hilir Perak, Manjung dan Bagan Datuk berbanding 613 orang daripada 174 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan daerah Hilir Perak mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 188 orang daripada 50 keluarga di tiga PPS, diikuti Manjung yang menempatkan 157 orang daripada 45 keluarga di dua PPS manakala 142 orang daripada 45 keluarga masih berlindung di PPS Dewan Kompleks Belia dan Sukan Bagan Datuk.

Kesemua mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS berkenaan sejak tiga minggu lepas belum dibenarkan pulang berikutan kediaman mereka masih digenangi air.

Sementara itu, sekretariat berkenaan turut memaklumkan PPS Dewan Serbaguna Kampung Sungai Rubana di Hutan Melintang yang menempatkan 74 orang daripada 19 keluarga telah ditutup sepenuhnya pada 2.30 petang tadi.

Di SELANGOR, jumlah mangsa yang masih berada di PPS adalah sebanyak 51 orang daripada sembilan keluarga petang ini berbanding 38 orang daripada 12 keluarga pagi tadi.

Menurut laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Komuniti Orang Asli Gombak itu adalah penduduk yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di Kampung Orang Asli Batu 12, Gombak pada Rabu lepas.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500172