AM

Lebih 1,250 Tan Sisa Banjir Direkodkan Di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Rimba Mas

08/12/2025 08:38 PM

KANGAR, 8 Dis (Bernama) -- Sebanyak 1,258.03 tan sisa banjir dikumpulkan di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Rimba Mas di sini, melalui pelaksanaan pasukan khas operasi pembersihan pascabanjir yang melibatkan kerja pembersihan di 116 kawasan di Perlis dari 29 Nov lepas hingga semalam.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) hari ini memaklumkan pelaksanaan kerja pembersihan itu merangkumi 8,910 premis dalam kawasan operasi perbadanan di negeri berkenaan yang terjejas akibat banjir.

"Pelaksanaan operasi ini melibatkan 189 anggota pasukan khas serta penggunaan jentera iaitu sebanyak 53 unit mini armroll dan 12 unit backhoe yang telah diselaraskan dan dipantau Bahagian Penguatkuasaan SWCorp," menurut kenyataan SWCorp.

SWCorp memaklumkan melalui operasi pasukan khas itu, kerja pembersihan di kawasan perkhidmatan SWCorp yang terjejas, dapat digerakkan secara menyeluruh, sistematik dan berterusan bagi memastikan kawasan terlibat dapat dipulihkan sepenuhnya serta berada dalam keadaan bersih dan selamat untuk didiami.

SWCorp melaksanakan pasukan khas itu dengan kerjasama syarikat konsesi Environment Idaman Sdn Bhd.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500208