AM

Yayasan Mahir Malaysia Cadang Perkenal Karakter Adiwira Bagi Perkukuh Imej TVET

08/12/2025 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Yayasan Mahir Malaysia mencadangkan agar pendekatan kreatif seperti pengenalan karakter adiwira digunakan bagi menarik minat generasi muda terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta mengatasi stigma bidang itu adalah pilihan kelas kedua.

Presiden Yayasan Mahir Malaysia Datuk P. Sri Ganes berkata kaedah visual dan penceritaan berbentuk adiwira dapat menjadi medium komunikasi baharu yang lebih dekat dengan minat belia, selain membantu masyarakat memahami kepentingan kemahiran teknikal ketika negara bergerak ke arah automasi dan ekonomi digital.

“Banyak pelajar dan ibu bapa masih melihat TVET sebagai laluan alternatif. Dengan memperkenalkan karakter adiwira, kita memberi simbol bahawa kemahiran adalah kekuatan dan kelebihan, bukan kekurangan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-11 SG TVET Group - Wira TVET di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, SG TVET Group Berhad tampil inisiatif baharu dengan melancarkan enam karakter adiwira dikenali sebagai Wira TVET, sebagai usaha menyerlahkan bidang kemahiran strategik kepada umum.

Enam karakter itu ialah Aero Wira-Skybyte (dron), Mecha Wira-Torque (mekatronik), Volt Wira-ChargeR (kenderaan elektrik), Chef Wira-Flamebatik (hospitaliti), Cipher (teknologi maklumat dan media digital) dan Media Wira-PixelRaya (media kreatif).

Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SG Academy (M) Sdn Bhd berkata karakter berkenaan boleh dimanfaatkan dalam bahan pendidikan, kempen kesedaran dan program kerjaya bagi membantu generasi muda melihat potensi TVET secara lebih menarik dan selaras dengan keperluan industri.

“Ini satu bentuk komunikasi kreatif yang boleh menyokong usaha kerajaan memposisikan TVET sebagai pemacu tenaga kerja masa depan. Pendekatan tradisional tidak lagi mencukupi untuk menarik minat belia,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia Tindaro Danze menyampaikan sijil kepada pelatih yang menamatkan program pensijilan automasi industri dan mekatronik di bawah kerjasama SG TVET-Siemens Malaysia.

Selain itu, platform NEXUS Kerjaya TVET turut dianjurkan, menghimpunkan lebih 13 rakan industri yang menawarkan lebih 100 peluang pekerjaan dan latihan industri kepada pelajar serta graduan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500214