JENAYAH & MAHKAMAH

Suami Maut, Isteri Patah Kaki Motosikal Rempuh Lori

08/12/2025 09:14 PM

IPOH, 8 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas maut, manakala pembonceng yang juga isterinya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori yang menukar haluan secara tiba-tiba di Jalan Ipoh–Lumut, dekat sini pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata nahas kira-kira 3 petang itu berlaku ketika lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berumur 23 tahun sedang mengubah haluan ke lorong kiri jalan.

Beliau berkata motosikal yang ditunggang Ahmad Taufik Abu Bakar, 60, yang berada di belakang kenderaan berat itu dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kiri lori terbabit.

“Akibat impak kemalangan tersebut, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Pembonceng yang juga isterinya Azizah Mat Jamat, 61, pula mengalami kecederaan patah kaki kiri dan segera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Abang Zainal Abidin berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk proses bedah siasat.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati motosikal terbabit tidak memiliki cukai jalan selain insurans telah tamat tempoh, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dan menambah pemandu lori turut ditahan untuk membantu siasatan.

Terdahulu, satu video papan pemuka berdurasi 30 saat tular melalui media sosial sejak pagi tadi, memaparkan sebuah lori yang memberikan isyarat sebelah kanan tiba-tiba membelok ke kiri setelah melepasi simpang ketika lampu isyarat bertukar hijau sehingga mengakibatkan kemalangan terbabit.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500222