Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 8 Dis (Bernama) -- Pasukan bola sepak wanita kebangsaan tersingkir daripada saingan Sukan SEA Thailand 2025 apabila mencatat kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 0-3 kepada pemenang pingat perak edisi lepas Myanmar pada aksi Kumpulan B di Chonburi hari ini.
Pada pertembungan di Universiti Sukan Kebangsaan Thailand Chonburi, Myanmar tidak berdepan kesukaran untuk selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan San Thaw Thaw pada minit ke-26 dan May Htet Lu minit ke-35.
Skuad Malayan Tigress bimbingan Joel Cornelli cuba bangkit pada babak kedua, namun menerima tamparan apabila Adrienna Zamzaihiri dilayangkan kad merah minit ke-60 sebelum Myanmar menoktahkan kemenangan dengan gol ketiga menerusi Theingi Tun lima minit berselang.
Cornelli berkata beliau berpuas hati dengan semangat juang ditunjukkan pemain semasa menentang antara pasukan terhebat rantau ini.
Beliau yakin pasukan itu mampu mencapai keputusan lebih baik pada edisi akan datang dengan bantuan serta sokongan mencukupi.
“Kita mempunyai lebih dua tahun untuk mempersiapkan pasukan ke Sukan SEA seterusnya. Saya yakin dengan lebih banyak masa untuk bekerja, mereka boleh menjadi lebih baik.
“Dengan lebih banyak latihan dan sokongan kukuh, khususnya dari segi pembiayaan kepada pasukan bola sepak wanita, saya yakin kita boleh membina pasukan lebih kuat,” katanya.
Malaysia akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Filipina, Khamis ini.
Pada aksi sulung kumpulan Jumaat lepas, anak buah Cornelli dikecewakan juara bertahan Vietnam 7-0.
Ini merupakan edisi kelima berturut-turut skuad wanita kebangsaan gagal melangkah ke separuh akhir, dengan kali terakhir mereka melakukannya pada edisi 2013 di Myanmar.
-- BERNAMA