AM

P. Pinang Tidak Abai Isu Banjir Kilat Dan Keretakan Rumah Penduduk Kampung Bagan Jermal

08/12/2025 09:34 PM

GEORGE TOWN, 8 Dis (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah mengabaikan suara penduduk dan menafikan dakwaan penduduk Kampung Bagan Jermal di sini berkaitan isu banjir kilat dan keretakan rumah yang berlaku di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus Joshua Woo Sze Zeng berkata pihaknya telah bertindak proaktif sejak awal termasuk mengambil tindakan dan perbincangan bersama penduduk, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

“Saya merujuk kepada laporan berita yang mendakwa tiada wakil rakyat menghubungi penduduk Kampung Bagan Jermal berkaitan isu banjir kilat dan keretakan rumah, dakwaan itu adalah tidak tepat dan sebagai ADUN Pulau Tikus, saya bersama pasukan saya tidak pernah mengabaikan suara penduduk. 

“Kami mengambil tindakan antaranya pemantauan risiko banjir, gotong-royong membersihkan parit dan perbincangan teknikal dengan perunding projek Water Body A bagi meneliti langkah mitigasi banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media semalam melaporkan penduduk Kampung Bagan Jermal menggesa pemaju dan kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah kesan Projek Water Body A yang mengakibatkan kerosakan rumah serta banjir berulang di kampung bersejarah itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Mohamad Yakop Mohamad Dali, 73, dilaporkan berkata projek bermula Februari tahun lepas itu menyebabkan gegaran kuat akibat penanaman cerucuk penahan dan tambakan laut, sekali gus menimbulkan keretakan pada rumah penduduk serta premis sekitar.

Beliau turut dilaporkan berkata penduduk telah beberapa kali membuat aduan dan perjumpaan dengan pemaju, ADUN Pulau Tikus serta wakil Parlimen sejak Julai lepas namun tiada tindakan konkrit diambil. 

Mengulas lanjut, Woo berkata selain itu, pada 26 Nov peruntukan sebanyak RM100,000 telah diperoleh daripada JPS untuk naik taraf sungai di kawasan itu dan ia dijadualkan dilaksanakan tahun depan, malah CMI juga sedang menjalankan kajian hidrologi untuk mengurangkan risiko banjir jangka panjang.

Beliau berkata kajian terperinci juga sedang dijalankan bagi menentukan punca keretakan rumah dan sekiranya kajian membuktikan keretakan berpunca daripada projek Water Body A, pihaknya akan memastikan ganti rugi yang setimpal diberikan kepada penduduk terjejas.

“Kerajaan negeri sentiasa komited mencari penyelesaian terbaik untuk penduduk Kampung Bagan Jermal dan sentiasa turun padang serta mendengar aduan mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500230