AM

Sultan Sharafuddin Berkenan Terima Buku Mewah 20 Masjid Selangor Terbitan Bernama

08/12/2025 09:43 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima persembahan buku mewah berjudul Estetika Taman Nurani Masjid-Masjid Di Selangor terbitan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang menghimpunkan citra 20 masjid pilihan di negeri berkenaan.

Buku setebal 181 halaman itu dipersembahkan oleh Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj kepada baginda pada sesi temu bual eksklusif di sebuah hotel, di sini.

Wong berkata buku khas berkenaan diterbitkan bersempena dengan ulang tahun keputeraan Sultan Sharafuddin yang ke-80.

Beliau berkata buku mewah itu mengetengahkan 20 masjid terpilih daripada 445 masjid di Selangor berdasarkan nilai sejarah dan seni binanya serta diterbitkan secara dwibahasa (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris).

“Mempersembahkan kepada Sultan Selangor sebuah buku mewah yang menampilkan 20 masjid di seluruh Selangor yang dipilih daripada lebih 400 masjid di negeri itu. Kami mempersembahkan naskhah pertama kepada baginda.

“Masjid ini bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga merupakan karya seni bina yang indah. Buku ini diterbitkan bersempena dengan hari keputeraan Tuanku ke-80," katanya menerusi hantaran Instagram hari ini.

Buku mewah berkenaan ialah hasil kerjasama Bernama serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

-- BERNAMA 


 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500240