SUKAN

Brunei Sekat Langkah Skuad Polo Malaysia Mara Ke Final Sukan SEA 2025

09/12/2025 12:30 AM

BANGKOK, 8 Dis (Bernama) -- Rentak cemerlang skuad equestrian polo Malaysia terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada Brunei pada aksi separuh akhir Sukan SEA 2025 di Thailand yang berlangsung di VS Sports Club & Siam Polo Park di Samut Prakan hari ini.

Pasukan negara, yang menewaskan Brunei 6-5 pada peringkat kumpulan Khamis lepas gagal mengulangi prestasi itu dan akur dengan kekalahan 6-9 pada pertemuan hari ini.

Pengurus skuad polo kebangsaan Datuk Shaiful Annuar Ahmad Shaffie berkata para pemain telah memberikan aksi terbaik, namun Brunei ternyata pasukan lebih kuat pada hari ini.

“Walaupun kami memberikan yang terbaik, hari ini bukan rezeki kami. Pada awal perlawanan, pemain utama saya Muhammad Shahir Akmal Mohd Shah terjatuh dan mengalami patah tulang,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Shaiful Annuar berkata agak mengecewakan apabila pasukan tidak dapat menghadiahkan pingat emas, namun mereka bertekad untuk mempamerkan aksi bertenaga pada perebutan pingat gangsa menentang Filipina pada Rabu.

Kali terakhir Malaysia merangkul pingat emas dalam acara equestrian polo adalah pada Sukan SEA 2019 di Filipina, ketika mereka menewaskan tuan rumah pada perlawanan akhir.

Terdahulu, dalam satu lagi aksi separuh akhir, tuan rumah Thailand membelasah Filipina 11-1.5 untuk mengesahkan slot ke final menentang Brunei.

Edisi ke-33 temasya dwitahunan itu akan membuka tirai secara rasmi esok dan berlangsung di Bangkok serta Chonburi sehingga 20 Dis.

Untuk berita terkini Sukan SEA 2025 di Thailand, layari seagames.bernama.com.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500247