EKONOMI

N. Sembilan Rekod RM2.71 Bilion Pelaburan Dari China, India RM22.8 Juta Sejak 2020 Hingga Jun Lepas

11/12/2025 01:26 PM

SEREMBAN, 11 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan merekodkan pelaburan dari China dan India, masing-masing berjumlah RM2.71 bilion dan RM22.81 juta bagi tempoh 2020 hingga Jun lepas, berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Teo Kok Seong berkata pelaburan dari China melibatkan 18 projek yang menyediakan sebanyak 1,115 peluang pekerjaan manakala dua projek dari India bagi tempoh yang sama.

"Pejabat MIDA negeri sentiasa aktif menjalankan libat urus bersama agensi pelaburan melalui penganjuran promosi pelaburan dalam dan luar negara, seminar dan sesi perbincangan meja bulat bersama bakal pelabur.

“Selain itu, mesyuarat turut diadakan dengan pertubuhan, perwakilan dan syarikat dari China dan India yang berpotensi melabur di negeri ini,” katanya semasa sesi jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini. 

Teo (PH-Bahau) menjawab soalan P.Gunasekaren (PH-Seremban Jaya) mengenai pencapaian kerajaan negeri dalam menarik pelaburan industri dari China dan India.

Beliau berkata tumpuan pembangunan industri di kawasan Negeri Sembilan timur yang meliputi Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin adalah selaras dengan perancangan kerajaan negeri yang memfokuskan kepada sektor agropolis atau industri berasaskan pertanian.

Menurutnya walaupun kilang di sepanjang jalan utama tidak banyak dilihat, terdapat sebuah kilang pengeluaran baja organik di Jempol kini hampir siap dibina dengan nilai pelaburan hampir RM100 juta, yang terletak berhampiran ladang sawit bagi menyokong kecekapan pengeluaran.

“Sementara itu, di Tampin, terdapat projek pelaburan terbesar iaitu Ladang Tenusu F&N dengan nilai RM1.8 bilion, yang menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memacu pembangunan industri berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata perkembangan itu membuktikan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor industri timur di negeri ini berjalan mengikut perancangan dan memanfaatkan ekonomi setempat.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2501222