Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 14 Dis (Bernama) -- Skuad negara menamatkan cabaran pada Sukan SEA 2025 dengan mengutip dua pingat gangsa di Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana di sini hari ini.
Dua gangsa itu hadir menerusi acara kumite lelaki dan wanita berpasukan selepas masing-masing mengatasi Laos 3-0 pada perlawanan penentuan gangsa.
Kutipan pingat itu menyaksikan Malaysia merangkul keseluruhan dua emas, satu perak dan tujuh gangsa pada edisi kali ini.
Pengurus pasukan karate negara ke Sukan SEA 2025 K. Ananthan berkata secara keseluruhan barisan atlet negara beraksi dengan baik dalam usaha mencapai sasaran tiga emas, namun isu teknikal yang dihadapi atlet negara dalam beberapa kategori menafikan impian itu.
“Satu-satunya emas yang terlepas daripada genggaman adalah dalam acara kumite individu lelaki bawah 67 kilogram (kg) apabila atlet negara terkandas pada pusingan kedua. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri dari segi mata, namun keputusan juri memihak kepada lawan.
“Sekiranya kami berjaya melepasi pusingan itu, peluang untuk meraih pingat emas adalah sangat cerah,” katanya kepada Bernama di sini.
Dua emas kem karate negara masing-masing disumbangkan C. Shahmalarani dalam kumite individu wanita bawah 50kg dan Thevendran Kaliana Sundram dalam acara kumite individu lelaki bawah 55kg.
Malaysia membawa pulang keseluruhan empat emas, dua perak dan empat gangsa pada edisi 2023 di Kemboja.
Ananthan berkata satu pascanilai akan dilakukan melibatkan semua pihak untuk membuat penilaian serta perancangan baharu terutama dalam persediaan ke Sukan Asia 2026.
“Kami juga ada perancangan untuk mendapatkan jurulatih spesifik untuk atlet-atlet, semuanya akan diputuskan selepas sesi pascanilai,” katanya.
-- BERNAMA