GEORGE TOWN, 14 Dis (Bernama) -- Kejayaan rayuan tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melibatkan seorang pekerja yang cedera akibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja membuktikan keperluan memperluaskan perlindungan sosial kepada pekerja.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata kes melibatkan Ah Aik, 53, seorang penjaga stor, yang mengalami kecederaan serius termasuk patah kaki kiri selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, pada awalnya tidak diluluskan berikutan dokumen tidak lengkap.
Beliau berkata mangsa turut kehilangan pekerjaan selepas kemalangan itu dan hanya bergantung kepada pendapatan isteri yang bekerja di kilang jahit, selain menanggung anak-anak yang masih bersekolah.
“Selepas rayuan dikemukakan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang, Perkeso telah meluluskan tuntutan berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sim berkata hari ini beliau menyerahkan cek bernilai RM9,100 kepada Ah Aik manakala faedah-faedah lain akan diuruskan oleh PERKESO.
Beliau berkata kes itu diiktiraf sebagai bencana kerja kerana kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, sekali gus melayakkannya menerima perlindungan di bawah skim sedia ada.
Sim bagaimanapun berkata masih terdapat jurang perlindungan dalam sistem keselamatan sosial sedia ada apabila pekerja yang singgah bagi urusan harian seperti membeli makanan atau menghantar anak tidak diiktiraf sebagai bencana kerja sekiranya berlaku kemalangan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Rang Undang-Undang Lindung 24 Jam yang telah diluluskan di Dewan Rakyat awal bulan ini bertujuan memastikan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh dan sejajar dengan realiti kehidupan pekerja.
Sim berkata rang undang-undang itu dijadualkan dibentangkan di Dewan Negara pada 17 Dis ini dan berharap ia dapat diluluskan serta dilaksanakan segera.
-- BERNAMA