Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 15 Dis (Bernama) -- Flexi Flex Hydraulics Sdn Bhd mencipta sejarah sebagai syarikat pertama dari Labuan yang memenangi anugerah berprestij “SME100 Malaysia – Fastest Growing Companies Award” (Syarikat Paling Pesat Berkembang), sekali gus menunjukkan kepimpinan dan sumbangannya terhadap pembangunan industri di rantau ini.
Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Bernama hari ini, syarikat itu berkata anugerah berkenaan disampaikan pada 10 Disember di sebuah majlis yang diadakan di Kuala Lumpur, menandakan pengiktirafan pertama Flexi Flex dalam kalangan 100 syarikat paling pesat berkembang di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Flexi Flex Vijay Sharma berkata pengiktirafan itu merupakan bukti usaha kolektif, dedikasi dan kerjasama berpasukan tenaga kerja syarikat, serta kepercayaan yang diberikan kepada syarikat oleh para pelanggan dan rakan kongsinya.
“Anugerah ini mencerminkan kerja keras, daya tahan dan komitmen seluruh pasukan kami, yang secara konsisten memberikan perkhidmatan berkualiti sambil menegakkan piawaian tadbir urus dan pematuhan yang kukuh,” katanya sambil menambah syarikat kekal fokus pada pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang.
Beroperasi dalam sektor perkhidmatan perindustrian dan penyelesaian kejuruteraan, Flexi Flex mengkhusus dalam perkhidmatan hidraulik, perkhidmatan sokongan minyak dan gas, serta penyelesaian penyelenggaraan perindustrian.
Syarikat ini menyediakan perkhidmatan di seluruh negara, dengan kehadiran operasi yang kukuh di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Ditubuhkan sejak 2014, Flexi Flex telah mencatatkan pertumbuhan yang mantap dari segi hasil, kemampuan dan kehadiran pasaran, disokong oleh pengembangan tawaran perkhidmatan dan jejak operasinya di seluruh negara.
Syarikat ini kini menggaji lebih 200 kakitangan, termasuk kakitangan langsung dan tidak langsung, yang menyumbang kepada peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran terutamanya di Malaysia Timur dan Labuan.
Menurut kenyataan itu, penerima anugerah berkenaan dipilih melalui proses penilaian yang ketat, termasuk penilaian dan audit bebas yang dijalankan oleh CTOS.
Ia berkata Flexi Flex diiktiraf kerana pertumbuhan perniagaan yang mampan, prestasi kewangan yang kukuh, kemampuan skala, pengembangan operasi dan piawaian tadbir urus korporat dan pematuhan yang tinggi.
-- BERNAMA