SUKAN

PWM Nampak Sasaran Jelas Wushu Di Sukan SEA 2027

15/12/2025 08:38 PM

Daripada Muhammad Afiff Md Adnan

BANGKOK, 15 Dis (Bernama) -- Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM) Datuk Chong Kim Fatt yakin sukan wushu negara tidak ketandusan bakat untuk diketengahkan selepas menamatkan kempen Sukan SEA 2025 dengan pencapaian tiga pingat emas, melebihi sasaran satu pingat yang ditetapkan.

Beliau berkata penyertaan atlet meningkat naik, seperti Mandy Cebelle Chen dan Pang Pui Yee yang menyumbang dua emas dalam acara berpasukan, menjadi petanda positif menjelang Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.

PWM hanya meletakkan sasaran satu pingat emas dengan sandaran utama terarah kepada juara dunia Tan Cheong Min, namun kejayaan melepasi sasaran itu memberi gambaran jelas potensi masa depan skuad negara.

"Untuk 2027 (Sukan SEA) kita boleh nampak sasaran jelas daripada segi kutipan pingat. Pui Yee jika pada hari pertama dia tidak sakit tempoh hari (acara individu), saya yakin dia mesti dapat emas dan pastinya akan menjadi bintang kita nanti.

"Mandy pula masih memerlukan masa untuk lebih matang. Namun, saya yakin menjelang 2027, pingat tidak akan menjadi masalah baginya dalam acara individu, walaupun pingat emas mungkin memerlukan tempoh perkembangan yang lebih panjang. Apa pun, saya puas hati dengan prestasi skuad negara,” katanya kepada Bernama.

Untuk rekod, kem wushu menamatkan kempen Sukan SEA kali ini dengan meraih tiga pingat emas, satu perak dan lima gangsa.

Gandingan Cheong Min, Lo Ying Ting dan Pui Yee meraih emas negara menerusi acara berpasukan duilian wanita dengan kutipan 9.730 mata hari ini.

Sabtu lepas, Ying Ting, Mandy dan Sydney Chin terlebih dahulu mencipta sensasi apabila muncul pemenang pingat emas acara Duilian (tanpa senjata) wanita.

PWM dalam masa sama akan mendapatkan khidmat jurulatih luar bagi beberapa disiplin sebagai persiapan mengukuhkan lagi kekuatan skuad negara.

Pada Sukan SEA edisi lepas di Kemboja, kem wushu membawa pulang dua emas, dua perak dan enam gangsa.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503065