AM

Kempen Internet Selamat 2.0 Diperhebat Tahun Hadapan - Fahmi

16/12/2025 03:50 PM

PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan memperhebat pelaksanaan Kempen Internet Selamat 2.0 pada tahun hadapan bagi memperkukuh tahap keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan kanak-kanak dan keluarga, kata Menterinya Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Kempen Internet Selamat 1.0 yang dilaksanakan sepanjang tahun ini melibatkan hampir 8,500 sekolah, melepasi sasaran awal 8,000 sekolah dengan penyertaan lebih 400,000 peserta menerusi pelbagai program kesedaran keselamatan Internet.

Fahmi berkata usaha ini perlu dilipatgandakan tahun hadapan, dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Komuniti MADANI yang berperanan sebagai ejen komunikasi pada peringkat akar umbi.

"Kita nak libatkan semua Komuniti MADANI menjadi ejen komunikasi menyampaikan mesej yang sama, iaitu untuk memastikan Internet itu selamat.

"Ibu bapa juga ada tugas dan tanggungjawab untuk memastikan anak-anak sentiasa selamat (semasa melayari Internet),” katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bagi November dan Disember Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Kementerian Komunikasi akan melancarkan mega jerayawara keselamatan Internet, iaitu jelajah ke seluruh negara, bersempena dengan Hari Keselamatan Internet Sedunia pada Februari depan, bagi memastikan mesej keselamatan Internet difahami dan dilaksanakan sehingga peringkat akar umbi.

Menurut beliau, penjenayah khususnya penjenayah seksual terhadap kanak-kanak, penjenayah scammer dan penjenayah judi dalam talian, telah merebak dan berhijrah secara besar-besaran ke dalam platform media sosial.

Bagi menangani perkara itu, Fahmi berkata kerajaan telah mengambil langkah memperkukuh kerangka perundangan dengan mentakrifkan beberapa perbuatan sebagai kesalahan jenayah, termasuk fraud, scam, buli siber dan doxing (dedah maya atau tindakan menyebarkan maklumat peribadi seseorang).

 "Buli siber telah dipinda Kanun Keseksaan yang sekarang telah mentakrifkan buli secara fizikal atau siber sebagai satu kesalahan. Doxing juga dengan menyebarluaskan maklumat peribadi seseorang dengan niat menimbulkan kegentaran, menakut-nakutkan itu, sekarang ialah satu kesalahan.

"Dulu (perundangan berkaitan) tak ada. Sekarang, kita ada lebih banyak aspek untuk melindungi rakyat," katanya.

Beliau berkata usaha itu juga selaras dengan penguatkuasaan beberapa akta yang melibatkan komunikasi seperti Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA), Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 dan pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Di bawah Peruntukan Deeming semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Jan 2026.

"Ini bermakna, sekiranya kita bekerjasama dengan kementerian-kementerian, jabatan-jabatan yang lain, agensi-agensi penguatkuasaan, menjelang tahun depan, insya-Allah Internet kita akan menjadi lebih selamat.

"Jadi dengan adanya OnSA, dan dengan disifatkan platform-platform ini sebagai telah dilesenkan, kita percaya beberapa perkara akan dapat diusahakan bersama untuk pastikan Internet di Malaysia lebih selamat terutama untuk kanak-kanak dan keluarga," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503301