JENAYAH & MAHKAMAH

Pecah Rumah, Curi Kenderaan Tukang Masak Dipenjara Lima Tahun

16/12/2025 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Seorang tukang masak dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memecah masuk rumah seorang warga emas dengan niat mencuri, April lepas.

Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhd Firdaus Ng Abdullah, 41, dan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 3 Dis lepas.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa melakukan pecah rumah dengan niat untuk mencuri barangan milik seorang wanita berusia 62 tahun di Taman Tun Dr Ismail dekat sini, pada 6.50 pagi, 1 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda, dan jika kesalahan dilakukan dengan niat untuk mencuri, tempoh pemenjaraan boleh dilanjutkan hingga 14 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ikhwan Mohd Nasir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung seorang anak berusia 11 tahun dan ibu yang sudah tua.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Muhd Firdaus turut dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas mengaku bersalah melakukan pecah rumah dan mencuri sebuah kereta Volkswagen Golf GTI serta sebuah komputer riba, awal bulan ini.

Hakim Noridah Adam turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 3 Dis lepas, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah kediaman di Taman OUG, dekat sini, antara 12.30 tengah malam dan 9.54 pagi, 2 Dis lepas.

Bagi kesalahan pecah rumah, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman serupa, manakala bagi kesalahan mencuri, pertuduhan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun dan denda, dan jika kesalahan itu dilakukan dengan maksud hendak mencuri, maka tempoh pemenjaraan itu boleh dilanjutkan hingga tujuh tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503310