KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Walaupun hanya berbaki kira-kira dua minggu sebelum tawaran diskaun saman 50 peratus oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berakhir pada 30 Dis ini, hampir 4.9 juta saman melibatkan jumlah RM1.4 bilion masih belum dijelaskan.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata sejak tawaran diskaun itu bermula 1 Nov lepas, hanya kira-kira 520,000 saman melibatkan jumlah RM70 juta telah diselesaikan.
“Masih terdapat baki sebanyak 4.89 juta saman tertunggak melibatkan jumlah RM1.4 bilion yang belum diselesaikan,” katanya pada sidang media Operasi Luxury 4.0 di Depoh Sitaan JPJ Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam.
Aedy Fadly berkata kebanyakan saman tertunggak itu melibatkan pesalah yang masih aktif, malah terdapat saman yang tertunggak melebihi 10 tahun.
Beliau berkata orang ramai boleh membuat semakan saman tertunggak menerusi aplikasi MyJPJ, portal rasmi JPJ atau hadir terus ke kaunter JPJ bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Menurut Aedy Fadly, semua orang awam layak menikmati diskaun 50 peratus itu yang melibatkan semua jenis saman di bawah JPJ.
“Mulai 1 Jan depan, tiada lagi diskaun saman JPJ akan diberikan dan kadar bayaran akan kembali kepada kadar asal tanpa sebarang lanjutan tempoh,” katanya.
Beliau berkata diskaun berkenaan diberikan sebagai peluang terakhir sebelum pelaksanaan struktur bayaran saman mengikut tempoh seperti yang ditetapkan kerajaan.
“Saman yang tidak diselesaikan boleh mengakibatkan tindakan lebih tegas pada masa akan datang. Oleh itu, saya menyeru orang awam supaya tidak menunggu saat akhir dan segera menyelesaikan saman tertunggak sebelum 30 Dis ini,” katanya.
-- BERNAMA