Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Ringgi mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika dagangan dibuka pada Rabu, mengekalkan momentum positif apabila diniagakan pada paras 4.07, prestasi tertinggi dalam tempoh hampir lima tahun, dipacu sentimen domestik dan luaran yang lebih baik.
Pada 8.01 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.0765/0935 berbanding dolar AS daripada 4.0835/0875 ketika ditutup semalam.
Kali terakhir ringgit mencecah paras tersebut adalah pada 3 Mac, 2021, apabila ringgit ditutup pada 4.0720 berbanding dolar AS.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa memberikan lebih kejelasan mengenai hala tuju dan pelaksanaan dasar kerajaan, yang menambah baik sentimen pasaran.
“Semalam, ringgit ditutup lebih tinggi apabila meningkat sebanyak 0.24 peratus. Hari ini, unit domestik mungkin kekal stabil memandangkan data terkini AS dijangka mendorong aktiviti pengambilan untung,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata di peringkat luaran, Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.10 peratus kepada 98.215 berikutan data pasaran buruh AS yang bercampur-campur bagi November.
Pembayaran gaji bukan perladangan AS meningkat sebanyak 64,000 pada November selepas mencatatkan penurunan pada Oktober, katanya.
Beliau berkata kadar pengangguran pula naik kepada 4.6 peratus berikutan penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi, pertumbuhan gaji yang sederhana serta jualan runcit yang lebih perlahan.
Mohd Afzanizam berkata data tersebut menunjukkan prospek pasaran buruh yang tidak menentu, dengan perbelanjaan pengguna yang lebih berhati-hati dan jangkaan rendah terhadap penurunan kadar faedah AS pada Januari, yang kini dianggarkan sekitar 20 peratus.
Kebanyakan pelabur menjangkakan penurunan kadar faedah sebanyak dua kali bagi sepanjang 2026, katanya.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan mengukuh berbanding pound British kepada 5.4727/4955 daripada 5.4760/4813 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6346/6457 daripada 2.6372/6400.
Ringgit juga lebih stabil berbanding euro kepada 4.7895/8095 daripada 4.8014/8061.
Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1620/1757 daripada 3.1657/1691 ketika ditutup pada Selasa, dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.9524/13.0147 daripada 12.9532/9721.
Ringgit naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 244.2/245.3 daripada 244.6/245.0 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.93/6.97 daripada 6.95/6.96.
-- BERNAMA