AM

Amaran Hujan Berterusan Tahap Bahaya, Buruk Di Pantai Timur Dan Johor Hingga Esok

17/12/2025 10:37 AM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya hingga waspada yang dijangka melanda beberapa negeri bermula hari ini hingga esok.

Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan berkata amaran tahap bahaya yang dikeluarkan pada 8.45 pagi itu melibatkan Pahang khususnya di Kuantan, Pekan dan Rompin.

Beliau berkata amaran hujan berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di Pahang (Jerantut, Maran dan Bera), Terengganu (Dungun dan Kemaman), Johor (Segamat, Kluang , Mersing dan Kota Tinggi).

Selain itu, amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka melibatkan sembilan negeri iaitu Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh), Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).

Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi MetMalaysia atau menghubungi talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503604