PUTRAJAYA, 17 Dis (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memperkukuh kesinambungan gerak kerja yang telah dibina oleh mantan menteri dan timbalan menteri sebelum ini, kata menterinya yang baru dilantik Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beliau menyifatkan pelaksanaan usaha serta perancangan oleh kepimpinan terdahulu sebagai satu gerak kerja yang mantap dan telah memberikan impak besar kepada pembangunan sukan serta belia di negara ini.
“Paling penting sebenarnya, dengan bantuan dan juga sokongan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Dr Nagulendran Kangayatkarasu yang begitu komited dan hebat dalam bersama-sama membangunkan KBS,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik tiba bersama timbalannya Mordi Bimol untuk memulakan tugas rasmi di Menara KBS, di sini hari ini.
Dr Mohammed Taufiq turut berharap KBS dapat bekerjasama secara rentas kementerian dengan agensi berkaitan bagi memastikan pengukuhan agenda belia dan sukan, khususnya dalam usaha membentuk sebuah negara Malaysia MADANI yang mampan.
“Ini ialah hari pertama saya, baru sahaja masuk ke sini dan saya akan mendapat taklimat daripada KSU, Ketua Jabatan dan sebagainya, selepas taklimat saya akan menyatakan dengan lebih detail lagi gerak kerja yang mahu kita lakukan.
“Jadi berikan sedikit masa dan saya yakin insya-Allah kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada saya dan timbalan menteri, dan sokongan Datuk KSU, saya yakin kita boleh mampu melonjakkan lagi KBS … ,” katanya.
Pelantikan Dr Mohammed Taufiq itu diumumkan Anwar semalam sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet Kerajaan MADANI bagi mengisi beberapa kekosongan jawatan.
Sementara itu, KBS dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh dasar belia negara, pembangunan sukan berprestasi tinggi serta aspek kebajikan atlet dan tadbir urus kementerian.
Penghargaan yang sama turut diberikan kepada bekas timbalan menteri Adam Adli Abdul Halim yang sepanjang tempoh perkhidmatan telah menumpukan kepada pengukuhan ekosistem pembangunan belia serta penglibatan belia pada peringkat akar umbi.
“KBS menzahirkan komitmen penuh untuk terus bekerjasama dengan kepimpinan baharu kementerian secara profesional dan bersepadu bagi meneruskan agenda pembangunan belia dan sukan negara selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA